Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan meneruskan saingan AFC Champions League dan AFC Cup pada musim ini tetapi mungkin dilangsungkan tanpa penonton bagi melindungi kesihatan pemain dan pegawai susulan penyebaran wabak COVID-19.

Menurut Setiausaha Agung AFC, Datuk Paul Windsor John, pihaknya yakin saingan kelab Asia itu akan berakhir pada tahun ini walaupun wabak pandemik itu memberi kesan kepada persiapan pemain dan perjalanan pasukan ke negara lain.

AFC semalam mengeluarkan kenyataan rasmi menangguhkan semua perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mei dan Jun ini, dan tarikh baharu akan diumumkan kelak bergantung pada situasi semasa wabak pandemik itu.

“Dua pertandingan itu tetap akan diteruskan tahun ini. Kita masih ada masa,” kata Windsor John kepada AFP sambil membayangkan tarikh baharu perlawanan akan diketahui pada penghujung bulan April ini.

Bagaimanapun, status perlawanan sama ada akan dilangsungkan tanpa penonton atau tidak bergantung kepada arahan daripada Kementerian Kesihatan serta kerajaan di negara masing-masing

“AFC telah bertekad untuk meneruskan perlawanan itu atas alasan semangat kesukanan dan memenuhi kewajipan komersial. Tetapi ia bergantung kepada syarat yang dikenakan pegawai kesihatan masing-masing,” jelasnya.

Wabak COVID-19 yang melanda negara Asia sejak awal Februari telah mengakibatkan beberapa perlawanan Liga Super China, J-League dan K-League tidak dapat berlangsung seperti biasa berikutan perintah berkurung daripada kerajaan.

Malah, wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) turut menerima tempiasnya dimana perlawanan AFC Champions League menentang kelab China, Guangzou Evergrande yang sepatutnya dijalankan pada Mac ini ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Baca artikel lain berkaitan dengan penularan wabak COVID-19 di Asia sehingga menjejaskan perjalanan sukan bola sepak.

J.League Umum Tunda 94 Perlawanan Liga Dan Piala Liga Sehingga Pertengahan Mac 2020 Akibat COVID-19

Liga Korea Terpaksa Ditangguhkan Kerana Wabak Coronavirus

RASMI: AFC Ubah Jadual 3 Perlawanan Pertama AFC Champions League Akibat Isu Coronavirus Di China