Rwanda telah meyahut seruan FIFA untuk menamakan salah satu stadium mereka sempena nama Pele.

Ianya sebagai penghormatan kepada mendiang pemain bola sepak Brazil legenda, Edson Arantes dos Nascimento, yang lebih dikenali sebagai Pele.

Pada Januari lalu, Presiden FIFA, Gianni Infantino mahu agar setiap negara di dunia menamakan salah satu stadium mereka dengan nama Pele.

Pele meninggal dunia pada usia 82 tahun sebelum penghujung tahun 2022 selepas berada di hospital untuk rawatan bagi masalah kanser.

Pele menjadi satu satunya pemain dalam sejarah yang memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali.

Dan dia menjaringkan lebih daripada 1,000 gol sepanjang kariernya. Oleh itu Infantino percaya semua orang perlu ada ingatan serta penghargaan yang berterusan tentang legasi itu ke mana sahaja mereka pergi.

Presiden FIFA memberitahu wartawan: “Kami akan meminta setiap negara di dunia menamakan salah satu stadium bola sepak mereka dengan nama Pele.”

Infantino mendedahkan, FIFA mengambil langkah ini untuk memastikan agar ‘kanak-kanak generasi baharu mengetahui kepentingan Pele’ dalam bola sepak dan dunia.

Presiden Rwanda Paul Kagame telah disertai oleh presiden FIFA Gianni Infantino ketika stadium baharu itu diumumkan.

Negara Afrika Timur itu menjadi negara ketiga di Afrika selepas Cape Verde dan Guinea Bissau yang menamakan stadium sempena nama Pele.

“Saya dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan terima kasih dari lubuk hati saya bahawa kita kini berada di sini di stadium yang indah ini, iaitu, seperti yang kita lihat, nama Stadium Kigali Pele,” kata Infantino.

“Pelé adalah bola sepak, Pelé adalah dunia, Pelé meninggalkan kita semua terlalu awal, tetapi Pelé sentiasa bersama kita semua. Dia bersama dengan semua mereka yang suka dengan bola sepak.”

“Dan adalah sangat penting bahawa setiap wanita dan setiap lelaki di seluruh dunia untuk mengingati siapa Pelé.”

“Jadi, terima kasih atas ehsan yang hebat ini, untuk menamakan stadium yang indah ini dengan nama Pelé, dan tahniah sekali lagi,” tambah Presiden FIFA itu lagi.

Presiden Rwanda itu turut menyatakan kegembiraannya merasmikan Stadium Kigali Pele.