Bekas penyerang Manchester United, Louis Saha yakin bahawa Harry Kane akan mendakap kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sekiranya beliau memilih untuk menyertai The Red Devils.

Masa depan penyerang utama skuad kebangsaan England dan Tottenham Hotspur itu kini menjadi tumpuan banyak pihak selepas beliau difahamkan bersedia untuk memeterai kontrak lanjutan bersama kelab London itu.

Susulan keputusan yang berkemungkinan besar bakal diambil itu, ramai berpendapat bahawa Kane akan terus ketandusan piala kerana tiada sebarang kejayaan dapat dilakarkan sepanjang bersama Tottenham.

Antara detik yang begitu hampir untuk direalisasikan beliau ketika Liga Juara-Juara Eropah 2018/19 serta Piala Liga 2014/15 serta 2020/21 tetapi semuanya hampa di pentas final.

Susulan dengan itu, Saha yang pernah mengecapi nikmat selaku juara dua kali EPL bersama United melihat Kane perlu melakukan langkah sama [meninggalkan kelab lama] untuk menamatkan penantiannya.

“Jika Harry Kane berhijrah ke Manchester United, saya boleh memberikan jaminan dia akan memenangi Liga Perdana Inggeris,” ujar Saha menurut sumber laporan Goal.

“Anda tidak boleh meminta lebih banyak kerana dia amat mengetahui tentang Liga Perdana Inggeris dan dia telah menjaringkan begitu banyak gol untuk Tottenham dan skuad kebangsaan England.”

“Dengan barisan yang dimiliki Manchester United pada ketika ini dan pendekatan mereka terhadap taktikal perlawanan, maka mempunyia penyerang yang boleh masuk ke dalam paskan itu serta mampu menjaringkan 25 gol semusim akan menjadi kepingan ‘puzzle’ terakhir buat Manchester United.”

“Anda memerlukan seseorang pemain yang boleh melakukan tugasan besar dan ianya membawa maksud menjaringkan 25 hingga 30 gol dalam satu musim [merujuk kepada kemampuan Harry Kane],” tambah Saha lagi.

Selepas membuat 312 penampilan dalam kancah EPL, Kane telah menjaringkan 199 gol untuk menjadi penjaring ketiga terbanyak dalam sejarah di belakang Alan Shearer (260 gol) dan Wayne Rooney (208 gol).

Manakala pada musim ini pula, beliau telah menjaringkan 16 gol dalam 30 penampilan, ketinggalan sembilan gol dibelakang Erling Haaland.

 

Sumber