Bekas penyerang Manchester United, Louis Saha tanpa berselindung mengkritik corak permainan ditampilkan Fred yang dilihat sebagai kurang keyakinan untuk mengemudi jentera tengah pasukan.

Kritikan itu menjelma ketika Fred beraksi 90 minit pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United menentang Newcastle United yang berkesudahan terikat tanpa jaringan.

Saha turut mengingatkan kepada Fred supaya mempamerkan persembahan yang menunjukkan beliau benar-benar layak untuk menyarung jersi The Red Devils dan bukannya seperti pemain daripada saingan League Two (liga divisyen empat England).

“Setiap pemain perlu melakukan lebih lagi ketika bersama Manchester United, tidak hanya tertumpu kepada Fred sahaja.”

“Tetapi sekiranya Roy Keane masih bermain pada hari ini dan menjadi sebahagian daripada pasukan ini, dia akan menjerit [memberikan teguran] walaupun anda bermain dengan baik.”

“Fred dikritik lagi kerana dia mempunyai dua peranan iaitu menyeimbangkan pasukam dimana anda perlu menjadi lebih mantap tetapi anda perlu untuk membantu rakan sepasukan di hadapan [mendapatkan jaringan].”

“Adakalanya Fred mempunyai peluang untuk menghantar bola ke hadapan tetapi dia terlalu banyak melakukan satu atau dua sentuhan.”

“Perkara sedemikian sering kali disedari dan ia menjadi masalah buatnya. Fred bermain untuk Manchester United, dia bukan berada dalam saingan League Two.”

“Dan semua orang akan mempunyai pendapat tentang persembahannya,” ujar Louis Saha menurut laporan Sport Bible.

Kritikan yang diterima Fred bukanlah satu perkara baharu kerana sebelum ini beliau seringkali menjadi mangsa kecaman ekoran prestasi ditampilkannya.

Sumber