Pemain tengah Selangor, Safuwan Baharudin menegaskan beliau akan melindungi rakan sepasukan daripada perkara yang tidak diingini, baik di dalam dan luar padang.

Selepas perlawanan menentang Selangor, salah seorang individu daripada kumpulan penyokong, Ultrasel telah mengkritik persembahan yang ditampilkan oleh pasukan meskipun memenangi perlawanan dengan keputusan 4-1.

Individu tersebut berpendapat para pemain perlu menampilkan prestasi terbaik bagi memastikan mereka tidak dibolosi kerana setakat ini, Selangor sudah dibolosi sebanyak enam kali dalam saingan liga.

Safuwan menerusi laman Instagram Story miliknya menegaskan selagi ketua pasukan, Brendan Gan masih belum pulih dan beliau dilantik sebagai ketua pasukan, maka beliau akan sentiasa melindungi rakan sepasukan.

“Selagi Brendan Gan, ketua pasukan sebenar belum kembali di atas padang, saya akan cuba sebaik mungkin untuk melindungi pemain baik di dalam mahupun di luar.

“Tetapi kalau kejadian seperti semalam berlaku, memang agak mengecewakan bagi saya. Kata-kata yang keluar dari mulut anda, menyatakan banyak perkara mengenai diri anda.

“Ayuh kita berganjak dari kejadian ini. Terus memberikan sokongan kepada pasukan tak kira apa pun. Pada penghujung hari, kita semua ini manusia. Sentiasa positif. Saya maafkan anda,” kata Safuwan Baharudin.

Selangor berjaya tampil dengan cemerlang ketika menewaskan Kedah apabila menjaringkan empat gol sekaligus mencatat tiga mata pertama dalam saingan Liga Super musim ini.

Mukhairi Ajmal, Caion dan Nor Hakim Hassan menjadi wira pasukan apabila mencipta jaringan sekaligus membantu pasukan melonjak ke tangga ke-5 dalam carta Liga Super.

Selepas ini, Selangor akan terbang ke Pantai Timur bagi menghadapi Terengganu manakala Kedah akan turun menentang Penang.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Alami Kecederaan Kepala, Farizal Marlias Dalam Keadaan Stabil

Kemenangan Sri Pahang Dirompak Lagi, Pengadil Bakal Dihukum FAM?

FAM Dan AFC Bincang Tentang Penggunaan VAR Serta Pengadil Profesional