Pemain tengah import Pahang dari Singapura, Safuwan Baharudin membuat pengumuman mengejutkan di laman instagram mengenai penamatan kontraknya selaku pemain skuad tok gajah untuk musim depan.

Menurut kenyataannya, walaupun beliau masih mempunyai baki kontrak setahun sehingga tahun 2020 namun pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) memutuskan untuk melepaskannya atas sebab-sebab yang tidak didedahkan.

https://www.instagram.com/p/B4uSRgdjYjV/?utm_source=ig_web_copy_link

“Walau apa pun alasannya, saya tidak pernah menyesal menyertai pasukan impian saya sejak beraksi dengan Lions XII walaupun hanya dua musim. Bukan mudah untuk meninggalkan kelab ini, dan tempat yang saya sangat selesa iaitu Kuantan.

“Kepada penyokong Pahang, saya minta maaf kerana tidak dapat membantu pasukan mara ke perlawanan akhir (Piala FA dan Piala Malaysia) tahun ini tetapi anda semua merupakan penyokong yang terbaik dalam bola sepak Malaysia.

“Tidak lupa juga kepada rakan sepasukan, barisan jurulatih, staff belakang tadbir dan keluarga di atas sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang dua tahun bersama Pahang,” katanya dalam kenyataan di laman instagram tersebut.

Kenyataan itu turut mengesahkan beliau tidak lagi beraksi bersama skuad kendalian Dollah Salleh sebaliknya akan beraksi dengan pasukan lain bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Bekas pemain Melbourne City itu menyertai Pahang pada tahun 2018. Sebelum itu, beliau pernah beraksi dengan pasukan Liga Premier iaitu PDRM FA pada tahun 2016 hingga 2017.

Kehilangannya pasti amat dirasai dalam kalangan penyokong Tok Gajah selepas pemain itu menampilkan prestasi yang menyakinkan sepanjang dua tahun dalam Liga Malaysia.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan skuad Pahang melalui pautan di bawah. 

Indra Sjafri Mahu Pahang Bersikap Adil

Pahang Mungkin Tidak Dapat Gunakan Khidmat Nor Azam Azih