Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim menyatakan kesediaan beliau untuk kembali beraksi bersama pasukan kebangsaan sekiranya khidmatnya masih diperlukan.

Dalam satu temu bual bersama Astro Arena, Safiq menegaskan beliau sedia untuk memberikan yang terbaik untuk pasukan negara sebelum mengakhiri karier sebagai pemain profesional.

Safiq Rahim
Safiq Rahim

“Saya sedia menyahut cabaran dan In Sha Allah, jika diberikan peluang untuk kembali bersama pasukan kebangsaan, saya akan memberikan yang terbaik buat negara sebelum saya mengakhiri penampilan saya sebagai pemain bola sepak.

“Tetapi saya memerlukan sokongan daripada semua pihak, terutama keluarga saya, isteri saya, ibu-bapa saya,” katanya.

Safiq Rahim memgumumkan persaraan dari pentas bola sepak antarabangsa pada 2016 namun kembali memperkuatkan skuad Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing oleh Nelo Vingada pada 2017.

Selain Safiq, dua lagi rakan sepasukan iaitu Aidil Zafuan dan S.Kunanlan yang turut mengumumkan persaraan juga dipanggil bagi memperkuatkan pasukan negara.

Ketika mengumumkan persaraannya, Safiq menyatakan tiada siapa yang mempengaruhi keputusan beliau dan pemain berusia 34 tahun itu berkata banyak aspek telah diberi perhatian seperti berbincang dengan keluarga sebelum bersara.

Kali terakhir Safiq menyarung jersi pasukan negara ialah ketika perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Mongolia yang mana ketika itu keputusan berakhir dengan seri 2-2.

Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempersoalkan mengapa bekas ketua jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe tidak memanggil Safiq bagi memperkuatkan Malaysia untuk menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang menyaksikan Malaysia gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

TMJ menyifatkan Safiq merupakan pemain tengah terbaik yang pernah dimiliki oleh Malaysia dan beliau sepatutnya berada dalam skuad kebangsaan.

Di peringkat antarabangsa, pemain kelahiran Kuala Selangor itu pernah memenangi beberapa kejuaraan antaranya pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala AFF Suzuki pada edisi 2010.

Safiq membantu Malaysia layak ke pentas akhir pada edisi 2014 namun terpaksa akur tewas kepada Thailand dengan keputusan 4-3 secara agregat.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

44 Graduan Akademi Mokhtar Dahari Berjaya Dapat Tempat Dalam Pasukan Liga Super

TMJ Anggap Gaji Lim Teong Kim Terlalu Tinggi Untuk Peringkat Pembangunan

‘Nama Besar’ Antara Individu Berminat Jadi Pembantu Kim Pan-gon