Penyerang berbisa yang membantu skuad negara muncul juara Piala AFF 2010, Safee Sali sebentar tadi telah mengumumkan persaraannya daripada kancah bola sepak profesional.

Setelah merasai pelbagai pengalaman pahit manis dalam karier pemain berusia 39 tahun itu selepas hampir dua dekad, Safee akhirnya mengambil keputusan untuk mengakhiri kerjayanya.

Memulakan kerjaya profesional pada tahun 2004, Safee pernah mewakili Kuala Lumpur, Sarawak, Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT), PKNS FC, Petaling Jaya City, dan KL City menjadi kelab terakhirnya.

Selain itu, Safee Sali turut pernah berkelana ke Indonesia untuk menyarung jersi Pelita Jaya selepas beliau cemerlang membantu skuad negara muncul juara Piala AFF 2010 sekali gus menjadi penjaring terbanyak kejohanan.

“Bola sepak akan sentiasa menjadi sebahagian besar daripada kehidupan saya tetapi saya amat teruja untuk meneroka masa hadapan dan peluang yang menanti.”

“Dalam peralihan ke fasa seterusnya dalam hidup saya, saya ingin memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan saya dalam menjadi pemangkin untuk generasi Malaysia yang seterusnya.”

“Saya amat teruja untuk mengumumkan bahawa saya sedang dalam usaha untuk menubuhkan akademi bola sepak yang akan mencungkil bakat-bakat muda ke peringkat yang tertinggi.”

“Pada masa yang sama, saya juga dalam usaha untuk menghasilkan sebuah dokumentari bertajuk ‘SEPULUH’ yang akan memaparkan kehidupan dan kerjaya bola sepak saya,” ujar Safee Sali bercakap dalam sidang media mengumumkan persaraannya.