Kapten Perlis, Mohd Safee Sali masih mengharapkan agar segala permasalahan yang menghimpit pasukan terutama membabitkan isu tunggakan gaji dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

Menurutnya, pihak pengurusan iaitu Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) yang diterajui presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie seharusnya mengambil peluang dan ruang yang diberikan oleh Malaysian Football League (MFL) untuk meletakkan pasukan Singa Utara itu dilandasan yang betul.

“Saya menghargai atas usaha dan komitmen pihak pengurusan yang mahu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi pasukan kerana ini sememangnya tanggungjawab mereka.

“Dengan apa yang menimpa pasukan ketika ini, ia adalah berdasarkan perancangan pasukan, bukan kesilapan pihak lain. Skuad Singa Utara sudah diberikan peluang untuk bangkit musim ini jadi PFA sepatutnya menggunakan peluang ini dengan baik.

“Tiada siapa yang menjangkakan keadaan menjadi seperti ini apabila permulaan atau penubuhan semula pasukan ini dilihat begitu baik sekali oleh pihak pengurusan baru.

“Adalah sesuatu yang amat merugikan jika peluang yang diberikan oleh MFL ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh PFA untuk membangunkan semula pasukan Perlis yang mempunyai penyokong yang ramai,” kata bekas penyerang kebangsaan itu.

Perlis mendapat slot untuk menggantikan tempat MIFA dalam Liga Premier selepas kelab yang dikenali sebagai Pj City FC itu dinaikkan taraf ke unifi Liga Super selepas penarikan diri Felcra FC.

Skuad Singa Utara kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid itu memulakan kempen Liga Premier dengan kekalahan 1-2 kepada UKM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad lalu.

Sebelum ini FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mencadangkan tiga pasukan iaitu Kuching FA, ATM dan Perlis dari Piala FAM untuk mengisi slot Liga Premier berdasarkan dokumen perancangan pasukan berkenaan termasuk aspek kewangan.

Daripada tiga pasukan ini, Ahli Lembaga Pengarah MFL kemudian membuat pemilihan berdasarkan kriteria tertentu antaranya kekuatan penyokong dan masalah hutang.

Meskipun memiliki tunggakan gaji 18 pemain musim lalu, Perlis masih dibenarkan bertanding dalam Liga Premier tahun ini dengan persetujuan hutang berkenaan akan dibayar menggunakan geran tahunan andai tidak dapat dilangsaikan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh 28 Disember lalu.

Namun apa yang membimbangkan apabila berlakunya tunggakan gaji pemain bagi musim baru ini termasuk Safee sendiri.

“Kalau ikut perancangan semua nampak baik, kita tidak tahu boleh jadi seperti ini. Apa pun kita tidak boleh menyalahkan pihak luar termasuk MFL sendiri kerana ini adalah tanggungjawab pasukan. Mereka seharusnya menggunakan peluang yang diberikan dengan baik,” katanya.