Penyerang Petaling Jaya City FC, Safee Sali berharap pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe memanggilnya untuk memperkuatkan jentera serangan bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan datang.

Safee kini giat menjalani latihan di rumah untuk memastikan kecergasannya berada di tahap terbaik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan susulan penyebaran wabak pandemik COVID-19.

Pemain yang berusia 36 tahun itu pernah membantu negara menjulang kejuaraaan Piala AFF pada tahun 2010 dan muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan tersebut.

“Harap-harap dapat lah kena panggil untuk Harimau Malaya satu hari nanti,” katanya melalui laman facebook rasmi.

Berdasarkan rekod, Safee telah menjaringkan 27 gol dalam 42 penampilan di peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan.

Skuad Harimau Malaya kini mempunyai tiga penyerang muda iaitu Syafiq Ahmad, Shahrel Fikri dan Safawi Rasid. Bekas rakan gandingan Safee, Norshahrul Idlan Talaha turut beraksi bersama mereka.

Jika Safee menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam saingan Liga Malaysia musim ini, ia akan memberi lebih banyak pilihan kepada Tan Cheng Hoe untuk memilih barisan terbaik di bahagian serangan.

Malaysia sepatutnya menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand pada bulan Mac serta Mei namun terpaksa ditangguhkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kerana wabak pandemik berkenaan.

Difahamkan, badan induk itu sudah mengeluarkan tarikh cadangan bagi aksi kelayakan itu pada 8 dan 13 Oktober untuk perlawanan menentang UAE dan Vietnam manakala aksi terakhir menentang Thailand dijadualkan 17 November.

Ketika ini, skuad negaraberada di tangga kedua kumpulan G dengan mengumpul sembilan mata dan sekiranya mampu meraih sekurang-kurangnya enam mata lagi, peluang mara secara automatik ke Piala Asia di China pada 2023 dilihat cerah sekali gus mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia zon Asia.