Bekas pemain skuad kebangsaan, Safee Sali menggesa ketua jurulatih baharu, Kim Pan-gon agar segera memahami budaya bola sepak Malaysia bagi membentuk pasukan mantap untuk menghadapi saingan pada masa akan datang.

Menurut Safee Sali, Pan-gon tidak seharusnya diletakkan sasaran tinggi agar jurulatih itu mempunyai masa untuk memahami corak permainan bola sepak negara.

Tambah penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010 itu, mustahil untuk melihat perubahan dalam sekelip mata dan meminta semua pihak agar bersabar dengan kehadiran jurulatih baharu dan memberikan masa yang secukupnya untuk staf kejurulatihan mengendalikan pasukan negara.

Safee Sali
Sumber Gambar: KL City

Bagi membantu Pan-gon mengendalikan skuad Harimau Malaya, beberapa jurulatih tempatan sudah dikenal pasti untuk menjadi pembantu kepada bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong itu.

Sebelum ini, dua jurulatih muda tempatan iaitu Nafuzi Zain (Terengganu) dan Nidzam Jamil (Selangor) dikaitkan dengan jawatan tersebut namun kedua-duanya menolak tawaran tersebut kerana menghormati kontrak dan mahu membantu kelab masing-masing yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Nama jurulatih lain yang dikaitkan ialah bekas ketua jurulatih Selangor, Sri Pahang dan Melaka United, Zainal Abidin Hassan selain E.Elavarasan dan pembantu jurulatih Penang, Manzoor Azwira.

Selain jurulatih tempatan, jurulatih dari luar negara seperti Pau Marti Vicente juga dilaporkan bakal menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan Kim Pan-gon.

Safee Sali
Pau Marti Vicente

Vicente ketika ini menjawat sebagai penolong jurulatih dalam skuad B-18 tahun kelab La Liga iaitu Barcelona. Vicente menjadi pembantu jurulatih bagi skuad B-18 tahun Barcelona sejak 2017 dan beliau pernah diberi tanggungjawab untuk menjadi pembantu jurulatih skuad B-19 tahun dan Barcelona B.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar berkata pihaknya memberi kebebasan kepada Kim Pan-gon untuk memilih mana-mana jurulatih sama ada dalam atau luar negara bagi menjadi pembantu kepadanya.

FAM sebagai badan induk bola sepak negara akan membantu dari segi berbincang dengan pasukan sekiranya Pan-gon telah memilih jurulatih dari kalangan jurulatih tempatan untuk membantu beliau menguruskan pasukan kebangsaan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Aiman Afif Dilantik Sebagai Ketua Pasukan Skuad B-23 Tahun Negara

Perak Berdepan Masalah Daftarkan Pemain Baharu

Daniel Ting Mungkin Tamatkan Kontrak Bersama Kuala Lumpur City