Saingan AFC Cup 2020 telah ditangguhkan sejak bulan Februari susulan penularan wabak pandemik COVID-19 namun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sempat mengimbas semula prestasi beberapa kelab pada musim lepas.

Pada minggu ini, mereka telah memilih 5 gol akrobatik terbaik (aksi sepakan gunting) yang pernah disaksikan dalam pertandingan itu sehingga menjadi bualan para peminat bola sepak di Asia.

Paling menarik, bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Safee Sali turut tersenarai antara 5 pemain yang melakukan gol tersebut pada tahun 2015. Ketika ini, JDT merupakan pasukan pertama dari Malaysia dan Asia Tenggara yang menjuarai AFC Cup.

4 pemain yang lain yang turut tersenarai ialah Omar Al Soma (Qadsia SC), Abdulatif Salkeni (Al Jaish), Nguyen Van Quyet (Hanoi FC) dan Khairul Amri (Tampines Rovers).

Para peminat bola sepak di Asia diberi pilihan untuk mengundi jaringan terbaik diantara 5 pemain tersebut. AFC dijangka akan mengumumkan keputusan undian pada hari khamis (25 Jun 2020).

Mengikut kedudukan semasa undian tersebut, jaringan daripada Nguyen Van Quyet telah mendahului dengan 48% manakala Safee berada di kedudukan kedua dengan 47%. Kedua-dua pemain ini sedang bersaing sengit dan hanya undian terbanyak yang akan menentukan pemenangnya.

Anda boleh mengundi jaringan Safee melalui laman web AFC di sini.

Sebelum ini, Safawi Rasid pernah dicalonkan untuk gol terbaik AFC Champions League. Baca lebih lanjut di pautan bawah.

Jaringan Safawi Rasid Tercalon Dalam Anugerah Gol Terbaik ACL 2019

Jaringan Safawi Rasid Dipilih Antara 5 Gol Lencongan Terbaik AFC Champions League

Shoja’ Khalilzadeh Tewaskan Safawi Rasid Dalam Pencalonan Gol Terbaik AFC Champions League 2019