Meskipun terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti, ia sedikit tidak mengganggu fokus penyerang kebangsaan, Safawi Rasid bagi mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste bulan depan.

Safawi yang terus diberikan kepercayaan pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe untuk bersama pasukan kali ini hanya sempat beraya bersama keluarga pada Hari Raya pertama sebelum kembali ke kem latihan untuk mempersiapkan diri menentang Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 dan 11 Jun ini.

Safawi Rasid

Sumber Gambar: MFL

Bagaimanapun pemain berusia 22 tahun itu tidak menganggap ia satu halangan meskipun sambutan lebaran kali ini pastinya lebih meriah dengan kehadiran 13 ahli keluarga bersama 17 anak saudara yang akan berkumpul di kampung halamannya di Terengganu.

“Saya sudah pilih kerjaya sebagai pemain bola sepak, jadi inilah cabaran yang saya perlu tempuh di mana cuti pun tidak tentu tidak kira Hari Raya atau sambutan apa sekalipun.

“Sebagai pemain profesional, daripada awal lagi saya sudah jangka masa dengan keluarga tidak akan lama dan kali ini saya perlu korbankan waktu raya bersama mereka.

“Saya rasa hanya sempat beraya selama satu hari sahaja dengan mereka sebelum sambung berlatih dan cabaran inilah yang akan menguatkan saya untuk kekal fokus kepada perlawanan yang cukup penting itu nanti”, katanya.

Puasa

Sumber Gambar: Sports247.com

Terdahulu, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyenaraikan seramai 26 pemain ke kem latihan pusat yang akan bermula pada 27 Mei ini.

Hanya 11 pemain yang dikekalkan daripada skuad 25 pemain yang tersenarai sebelum ini bagi Piala AIRMARINE 2019 pada Mac lalu yang menyaksikan pasukan meraih tempat ketiga.

Anak buah Cheng Hoe bakal berdepan perlawanan persahabatan antarabangsa terlebih dahulu menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2 Jun ini sebagai persiapan pasukan sebelum aksi sebenar bertemu Timor Leste.

Sekiranya skuad negara langkah kanan, mereka akan layak ke Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 membabitkan 40 pasukan terbaik Asia.

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group