Penyerang kebangsaan, Safawi Rasid kembali lapor diri ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya hari ini selepas selesai melangsungkan perkahwinannya sebagai persiapan persiapan menghadapi Piala AFF 2022.

Turut melaporkan diri ialah tujuh pemain Selangor FC dan seorang lagi pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terlibat dengan Final TM Piala Malaysia 2022 pada 26 November lalu.

Pemain yang berusia 25 tahun itu turut akan menyertai kelab Thailand, Ratchaburi FC selepas selesai tugasan bersama skuad Harimau Malaya secara pinjaman dari JDT.

Bagaimanapun, Safawi tekad buru lebih banyak minit permainan dalam Liga Thailand dan tidak mahu sekadar memanaskan bangku simpanan lagi seperti musim ini.

“Umur sudah cecah 25 tahun jadi saya perlu minit permainan untuk diri saya, selepas habis tempoh pinjaman dengan Ratchaburi ini saya nak cari pasukan yang betul betul perlukan saya, tak nak duduk di bangku simpanan.

“Saya sangat hargai mereka mahu gunakan khidmat saya tetapi apa-apa pun saya mahu fokus bantu skuad kebangsaan untuk Piala AFF terlebih dahulu,” jelasnya.

Seramai 29 pemain menjalani latihan pusat Harimau Malaya di Wisma FAM.

Kejohanan Piala AFF 2022 ini akan jadi medan untuk beliau dapatkan kembali keyakinan sebelum kembali menyertai Ratchaburi pada januari depan. Liga Thailand menjadi pilihan kerana mengamalkan corak permainan berbeza daripada Liga Malaysia.

“Ada kelainan antara kedua-dua liga, di sana lebih kepada ‘possession football’ dan permainan lebih laju, tapi kelainan itu tak banyak. Bukan nak bandingkan liga mana lebih baik tetapi ramai yang katakan termasuk pemain Malaysia yang pernah berada di sana mengenai kelainan liga tersebut.” jelasnya.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kemboja pada 9 Disember 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum menentang Maldives bagi aksi kedua pada 14 Disember 2022 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Seterusnya ketua jurulatih, Kim Pan-gon akan menamakan senarai akhir 23 pemain yang dibawa ke Piala AFF 2022 yang mana bagi kempen Kumpulan B, Malaysia akan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember 2022, Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember 2022, Vietnam di Hanoi pada 27 Disember 2022 dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari 2023.