Pemain negara yang berkelana ke Thailand, Safawi Rasid mengakui penggunaan Video Assistant Referee [VAR] amat penting bagi setiap liga bola sepak profesional.

Beliau yang sudah berpengalaman dalam berhadapan dengan VAR selepas dipinjamkan ke Ratchaburi FC, Safawi melihat penggunaan teknologi itu sangat membantu pemain dan pasukan.

Ia sangat penting dalam bagi semua pihak untuk mendapatkan kepastian lebih jelas sekiranya terdapat kekeliruan terutamanya melibatkan keputusan pengadil perlawanan.

“Perbezaan yang saya dapat lihat antara Liga Malaysia dan Thailand ialah di sini mempunyai VAR, jadi ia adil buat pemain dan semua pasukan.”

“Bagi saya, liga bola sepak profesional mesti mempunyai VAR. Dapat disaksikan ketika saya dikasari pemain lawan, apabila pengadil menggunakan bantuan VAR, pemain tersebut telah dilayangkan kad merah.”

“Jadi, perkara ini penting untuk bersikap lebih adil kepada semua pemain dan pasukan.  Bagi saya, penggunaan VAR sangat penting buat mana-mana liga,” ujar Safawi bercakap dalam video temubual bersama media Thailand, Main Stand – International.

Saingan Liga Malaysia juga dilaporkan akan memperkenalkan VAR tetapi ia hanya akan melibatkan perlawan penting seperti suku akhir, separuh akhir dan akhir Piala FA serta Piala Malaysia.

Selain itu, beliau yang baharu sahaja mendirikan rumah tangga mengakui memang merupakan impiannya sejak di bangku persekolahan untuk beraksi dalam saingan Liga Thailand.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya datang ke sini kerana impian saya 10 tahun lalu ketika berada di Sekolah Sukan di Malaysia.”

“Jadi impian saya adalah untuk bermain di Liga Thailand kerana ia merupakan salah satu daripada liga yang terbaik di Asia, jadi saya memilih untuk bermain di sini.”

“Mereka [merujuk kepada rakan sepasukan yang pernah beraksi di Thailand] mengatakan kepada saya tentang corak permainan yang cantik di sini dengan aksi lebih ‘possesion’ dan sokongan penyokong juga sangat baik, kerana itulah juga saya memilih ke sini.”

“Saya datang ke sini untuk membuktikan apa yang saya mampu sumbangkan kerana di Liga Malaysia saya sudah memenangi semua piala. Saya mahu mencuba sesuatu yang baharu dan cuba membantu kelab untuk mendapatkan piala,” tambah Safawi Rasid lagi.