Pemain sayap pasukan kebangsaan, Safawi Rasid memberikan bayangan seolah-olah beliau bakal meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila mengucapkan terima kasih kepada pemilik kelab, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ).

Safawi berkata demikian menerusi laman media sosial Instagram miliknya dimana pemain itu menganggap beliau akan selamanya berhutang budi kepada TMJ.

https://www.instagram.com/reel/CmlLLSFhIX3/?igshid=YmMyMTA2M2Y=

“Terima kasih JDT. Ini adalah hari yang penuh emosi bagi saya. Saya selamanya berhutang atas apa yang TMJ telah lakukan untuk saya dalam kerjaya saya.

“Terima kasih kerana sentiasa menasihati saya dan mahukan yang terbaik untuk kerjaya saya. Kenangan terbaik saya dalam bola sepak adalah bersama kelab yang menakjubkan ini. Sudah tiba masanya untuk cabaran baharu. Ini bukan selamat tinggal. Jumpa lagi,” kata Safawi Rasid.

Sebelum ini, Pengarah Teknikal pasukan, Hector Bidoglio menyatakan bahawa pihak kelab akan meminjamkan Safawi dan seorang lagi pemain, Moussa Sidibé ke kelab Thailand, Ratchaburi FC bagi menghadapi saingan liga musim 2022/2023.

Pengerusi Ratchaburi, Tanawat Nitikanchana turut mengumumkan kelab itu telah menandatangani Safawi dari JDT pada jendela perpindahan kedua Liga Thailand musim 2022/23.

Difahamkan Safawi akan mengisi kuota pemain import ASEAN pasukan itu bersama dua pemain Myanmar, Myo Min Latt dan Hein Phyo Win.

“Setakat ini, ia sudah selesai. Pemain itu akan menyertai kami selepas tamat tugasannya bersama skuad kebangsaan dan saya berharap kehadirannya dapat menambah jumlah penyokong kelab,” katanya.

Pemain yang berusia 25 tahun itu pernah beraksi menentang Ratchaburi ketika mewakili JDT dalam saingan AFC Champions League (ACL) pada musim 2021.

Bekas pemain T-Team itu mengikut jejak langkah beberapa pemain negara dengan beraksi di Liga Thailand seperti Norshahrul Idlan Talaha (BG Pathum United) dan Shahrel Fikri (Nakhon Ratchasima).