Pemain sayap pasukan negara, Safawi Rasid mencipta kejayaan berganda apabila beliau tersenarai dalam kesebelasan terbaik mingguan dalam saingan Liga Thailand.

Baru-baru ini, Safawi menjaringkan gol pertama beliau dalam saingan liga ketika Ratchaburi turun berdepan Chonburi dimana bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menjaringkan gol pada separuh masa pertama.

Selepas perlawanan, pengelola liga mengeluarkan senarai pemain terbaik mingguan dan Safawi berada dalam senarai tersebut setelah tampil cemerlang bersama Ratchaburi. Pemain berusia 24 tahun itu juga menjadi satu-satunya pemain dari Ratchaburi berada dalam senarai itu.

Safawi Rasid menyertai beberapa pemain lain seperti Lonsana Doumbouya (Buriram United), Tyronne del Pino (Nakhon Ratchasima) Jorge Fellipe (Lampang) dan Airton Tirrabasi (Port).

Safawi mengikut jejak langkah seorang lagi pemain negara iaitu Dion Cools yang sebelum ini pernah berada dalam kesebelasan terbaik mingguan.

Selepas mencatat kemenangan ke atas Chonburi, Ratchaburi kini berada di tangga kelima dengan kutipan 38 mata, dibezakan dengan perbezaan jaringan dengan kelab di tangga keempat iaitu Muangthong United dan satu mata di belakang Port yang menduduki tangga ketiga.

Selepas ini, Ratchaburi bakal turun berdepan bekas kelab Shahrel Fikri, Nakhon Ratchasima di laman sendiri dan Safawi sudah pasti menjadi sandaran utama untuk mencari jaringan.