Pemain sayap pasukan negara, Safawi Rasid diturunkan buat kali pertama dalam kesebelasan utama ketika perlawanan Thai League Cup antara Ratchaburi menentang Nongbua Pitchaya baru-baru ini.

Setelah membuat penampilan pertama dalam perlawanan liga menentang Khon Kaen United minggu lalu, Safawi diberikan kepercayaan oleh ketua jurulatih, Xavi Moro untuk tampil dalam kesebelasan utama.

Dalam perlawanan tersebut, penentuan sepakan penalti terpaksa digunakan setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan ketika masa sebenar permainan. Ratchaburi menang dengan keputusan 5-4 sekaligus layak ke peringkat suku akhir.

Menurut perkongsian laman tidak rasmi kelab di media sosial Twitter, Safawi menampilkan prestasi baik dimana beliau mencipta beberapa peluang untuk rakan sepasukan.

“Untuk peminat Malaysia, Safawi bermain dengan baik hari ini (malam ini). Dia mencipta beberapa peluang untuk rakan sepasukan dan banyak membuat larian sehingga kehabisan tenaga. Kami sayang dia,” katanya.

Selepas menampilkan prestasi baik, tidak mustahil bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu diturunkan pada perlawanan seterusnya dimana Ratchaburi dijadualkan turun menentang Lamphun Warrior dalam saingan liga.

Ratchaburi ketika ini menghuni tangga keempat dalam carta Thai League 1 dimana mereka ketinggalan dua mata dibelakang pasukan tempat ketiga iaitu Bangkok United.

Pada perlawanan liga yang lepas, Ratchaburi tewas kepada Khon Kaen dengan keputusan 2-0 dan aksi menentang Lamphun merupakan medan terbaik untuk pasukan itu kembali mencatat kemenangan.

Seorang lagi pemain Malaysia, Dion Cools turut cemerlang bersama Buriram United dimana pendahulu liga itu berjaya menewaskan seteru mereka iaitu Muangthong United dengan keputusan 2-1.

Dion diturunkan dalam kesebelasan utama dan ini merupakan penampilan kali kedua dalam aksi kompetitif bersama Buriram dimana beliau diturunkan ketika menentang Sukhotai minggu lalu.