Safawi Rasid yang dipilih sebagai ‘Pemain Terbaik Perlawanan’ pada aksi kedua skuad negara dalam kempen Piala AFF Suzuki 2020 bertemu Laos sebentar tadi menganggap bantuan dan sokongan rakan sepasukan telah membantunya untuk meledakkan hatrik.

Mengulas mengenai kejayaan peribadi tersebut, Safawi dalam masa sama turut tidak menyangka dapat meletakkan namanya selaku peledak hatrik pada perlawanan di Stadium Bishan itu.

Kemenangan selesa 4-0 yang dilakarkan itu menyaksikan Safawi mencipta jaringan seawal minit ketujuh, 34 dan 80 sekali gus menjadikan beliau sebagai penjaring terbanyak kejohanan pada ketika ini dengan empat gol.

Keupayaannya menjaringkan tiga gol itu juga sedikit sebanyak dapat mengembalikan keyakinan segelintir penyokong yang meragui kehadiran beliau dalam saingan kali ini berikutan aksi kurang memberangsangkan dipamerkannya terutamanya pada tahun 2021.

“Tahniah kepada rakan sepasukan, jurulatih, kakitangan pasukan dan semua yang terlibat untuk [pasukan] Malaysia. Saya pun tak menjangkakan akan dapat hatrik.”

“Saya dapat [menjaringkan] hatrik ini pun kerana sokongan daripada rakan sepasukan dan jurulatih. Saya sangat gembira hari ini.”

“Saya tak boleh nak cakap apa lagi. Saya sangat gembira hari ini,” ujar Safawi sebaik sahaja tamat perlawanan bertemu Laos.

Safawi Rasid dan rakan sepasukannya akan berdepan tugas getir untuk meneruskan rentak kemenangan pada aksi seterusnya apabila skuad negara bakal membuat perhitungan menentang juara bertahan, Vietnam, Ahad nanti.

Baca juga artikel-artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.

Piala AFF 2020: Safawi ‘Mengganas’ Bantu Kemenangan Kedua Malaysia

Guilherme De Paula Beri Penjelasan Insiden Melibatkan Dirinya

FAM Hantar Permohonan Rasmi Kepada AFF Untuk Tukar Penjaga Gol