Pemain skuad kebangsaan, Safawi Rasid bakal beraksi dalam saingan Liga Thailand (Thai League 1) apabila sah menyertai kelab Ratchaburi FC secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) selama semusim.

Perkembangan itu diumumkan oleh Pengerusi Ratchaburi, Tanawat Nitikanchana dalam sidang media rasmi memperkenalkan pemain baharu hari ini.

Difahamkan Safawi akan mengisi kuota pemain import ASEAN pasukan tersebut bersama tiga pemain Myanmar, Myo Min Latt, Nanda Kyaw dan Hein Phyo Win. Pemain yang berusia 25 tahun itu pernah beraksi menentang Ratchaburi ketika mewakili JDT dalam saingan AFC Champions League (ACL) pada musim 2021.

Seorang lagi pemain daripada JDT yang turut dipinjamkan ke Ratchaburi ialah Moussa Sidibe.

Safawi yang telah melangsungkan perkahwinannya bersama seorang pelakon, Syifa Melvin bulan lepas baru sahaja selesai tugasan bersama skuad Harimau Malaya dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric.

Peminat bola sepak tempatan mungkin akan menyaksikan kelibat pemain itu dalam saingan Liga Thailand yang kembali bersambung pada 21 Januari 2023.

Sebelum ini, ada beberapa pemain dari Malaysia yang pernah beraksi dalam saingan Thai League 1 antaranya Shahrel Fikri (Nakhon Ratchasima), Norshahrul Idlan Talaha (BG Pathum United) serta Mohamadou Sumareh dan Dominic Tan (Police Tero).

Kini, pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi turut berada dalam saingan Thai League 1 bersama pasukan Khon Kaen United, Dion Cools menyertai Buriram United, manakala Junior Eldstal beraksi dengan PT Prachuap.

Ada dua orang lagi pemain tempatan beraksi saingan divisyen 2 Liga Thailand iaitu Zafuan Azeman yang menyertai Uthai Thani dan Stuar Wark daripada kelab Kasetsart.