Selepas 3 pemain utama skuad kebangsaan Thailand mendapat peluang beraksi dalam saingan J1 League musim 2018 secara pinjaman, kini J.League sudah mula memerhatikan pemain-pemain lain dari Malaysia, Vietnam dan Indonesia.

Menurut seorang pegawai J.League yang terlibat secara langsung dalam membawa pemain-pemain ASEAN, mereka sudah mengesan seorang pemain dari Malaysia yang mempunyai potensi tinggi memberikan impak serta aksi yang memukau – Safawi Rasid.

Pihak J.League juga memberitahu, mereka mahu membawa pemain dari negara lain selepas Thailand terutama dari negara-negara yang telah berada dalam kategori ‘J.League Nation Partner’.

Mana-mana pemain dalam dari negara-negara ‘J.League Nation Partner’ yang beraksi di J.League tidak akan menggangu kuota pemain import kelab kerana dianggap sebagai pemain tempatan.

afc safawi 130118

Dari maklumat yang diterima, aksi skuad negara dalam kejohanan AFC U23 Championship di China bulan Januari 2018 lalu adalah faktor utama yang membuka mata pihak J.League terhadap kebolehan pemain-pemain skuad Malaysia.

Walaupun tidak diberikan sebarang harapan, skuad kendalian Dato’ Ong Kim Swee ini berjaya layak ke suku akhir dan tewas tipis 1-2 kepada Korea Selatan.

Perkara Penting Yang Perlu Diberi Perhatian

Jepun sebagai salah sebuah negara kuasa besar bola sepak Asia mahu membantu pemain-pemain Malaysia tetapi jika berjaya memenuhi syarat serta mampu mempamerkan aksi memukau terutama dalam kejohanan benua.

akhyar-rashid-malaysia-u23_1nrhya2hzhvme180p02h9907lr

Walaupun mereka terbuka untuk memberikan peluang tetapi pada masa yang sama mereka perlu menjaga kualiti yang telah ada dalam liga mereka.

Jadi, peluang untuk beraksi dalam kejohanan benua Asia tidak kira dalam kapasiti skuad kebangsaan (Piala Asia) atau pasukan kelab ( AFC Champions League), adalah platform terbaik untuk pemain mempamerkan apa yang mereka mampu lakukan kerana banyak ‘mata’ akan memerhatikan aksi mereka.

Selain Safawi, pemain skuad Liga Super Kedah FA,  Akhyar Rasyid juga berada dalam senarai yang akan dipertimbangkan untuk diberi peluang bersama kelab J.League.