Berita gembira bagi peminat Sabah apabila pemain sayap skuad kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani kekal beraksi bersama pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan The Star, T.Avineshwaran dimana Saddil masih mempunyai kontrak bersama kelab itu dan ketua jurulatih pasukan, Datuk Ong Kim Swee telah bercakap dengan pemain itu agar kekal bersama Sabah pada pertengahan tahun lalu.

Sebelum ini, Saddil dikaitkan dengan sebuah kelab dari eropah iaitu Dinamo Minsk dimana beliau dikhabarkan bakal menyertai pasukan itu pada musim 2023.

Menurut laporan Indosport, ejen pemain tersebut, Alex Talpes mendedahkan kelab dari Belarus tersebut telah memberikan tawaran kontrak dengan gaji yang cukup lumayan serta peluang beraksi dalam saingan EUFA Europa Conference League.

“Dinamo Minsk dari Belarus menawarkan kontrak untuk Saddil Ramdani. Tawaran gajinya sangat bagus dan juga kelab yang bermain di Europa League (Kelayakan EUFA Europa Conference League).

“Dia menerima tetapi kita kena tunggu hingga akhir tahun ini ketika kontraknya bersama Sabah sudah tamat,” kata Alex Talpes.

Sebelum ini, sebuah kelab yang beraksi di divisyen utama Liga Serbia, FK Novi Pazar pernah menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat Saddil Ramdani.

Bagaimanapun, permintaan kelab tersebut telah ditolak oleh Sabah FC kerana mereka hanya mahu mendapatkannya secara percuma tanpa sebarang bayaran perpindahan. Perkembangan ini disahkan oleh Pengurus pasukan, Marzuki Nasir.