Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Jaringan pemain sayap, Arif Aiman Mohd Hanapi membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan 1-0 ke atas Sabah pada aksi separuh akhir pertama TM Piala Malaysia 2022 yang berlangsung sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

Perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu menyaksikan pengadil, Razlan Joffri Ali telah melayangkan 10 kad kuning dan satu kad merah sepanjang aksi berlangsung.

Peledak berbisa JDT, Bergson da Silva hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketiga, bagaimanapun percubaan jarak jauh dilakukannya berjaya ditepis keluar penjaga gol, Damien Chien Khai Lim.

Damien sekali lagi cemerlang pada minit ke-15 apabila beliau menggagalkan pula rembatan dalam kawasan penalti oleh Arif Aiman.

Berselang tiga minit kemudian, Sabah memiliki peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan tetapi tandukan Park Taesu selepas menerima hantaran jauh Baddrol Bakhtiar sekadar singgah di palang gol JDT.

Finalis musim lalu itu berupaya merobek gawang tuan rumah pada minit ke-22 tetapi jaringan Bergson dibatalkan kerana beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam keadaan ofsaid.

Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Bergson sekali lagi hampa ketika permainan memasuki minit ke-27 selepas rembatannya susulan gerakan solo dengan melepasi empat pemain pertahanan Sabah diselamatkan oleh Damien.

Kecemerlangan Damien terhenti di minit ke-34 apabila beliau gagal untuk menyelamatkan rembatan dari luar kawasan penalti dilakukan Arif Aiman bagi memberikan jaringan pendahuluan buat pasukan pelawat.

JDT yang terus memberikan tekanan ke arah kubu Sabah harus menyalahkan diri sendiri berikutan kegagalan Fernando Forestieri untuk menyempurnakan peluang terhidang setelah menerima umpanan cantik Arif Aiman pada minit ke-49.

10 minit kemudian, Bergson pula gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas arah rembatannya dibaca dengan baik Damien Lim untuk menyelamatkan keadaan.

Memasuki minit ke-74, JDT terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain apabila Muhamad Feroz Baharudin menerima kad kuning kedua ekoran kekasaran dilakukannya terhadap Saddil Ramdani.

Usaha kedua-dua pasukan bagi mengubah kedudukan tidak membuahkan hasil untuk memastikan kelebihan satu gol dibawa JDT ke Stadium Sultan Ibrahim.