Setelah terkeluar dari saingan Piala Malaysia 2022, Sabah tidak membuang masa untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan dimana mereka dikhabarkan telah berjaya mendapat khidmat tiga pemain skuad kebangsaan.

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Sabah telah mendapatkan khidmat pemain pertahanan Kuala Lumpur City, Irfan Zakaria serta dua penyerang Petaling Jaya City iaitu Darren Lok dan S. Kumaahran.

Pada perlawanan peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2022, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 4-1 secara agregat sekaligus skuad Harimau Selatan itu mara ke perlawanan akhir.

Kelab dari Borneo itu turut menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Super dimana mereka menamatkan saingan musim 2022 di tangga ke-3, dibezakan hanya dua mata dibelakang Terengganu yang muncul naib juara sekaligus layak ke saingan Piala AFC musim hadapan.

Antara tiga nama yang dibawa masuk Sabah, Darren Lok menjadi nama yang paling menyinar dimana penyerang itu muncul sebagai penjaring terbanyak di kalangan pemain tempatan iaitu dengan 10 gol dalam saingan Liga Super.

Selain itu, Darren juga memainkan peranan besar bersama skuad kebangsaan dimana beliau menjaringkan gol pada aksi terakhir peringkat kumpulan E kelayakan Piala Asia 2024 menentang Bangladesh sekaligus membantu skuad Harimau Malaya melayakkan diri ke temasya bola sepak paling berprestij di Asia itu.

Perkara ini juga memberi bayangan dimana Datuk Ong mahu menggunakan khidmat penyerang tempatan untuk menerajui barisan serangan Sabah musim hadapan dan tidak mahu menggunakan khidmat penyerang import.

Untuk makluman, Irfan merupakan salah seorang pemain pertahanan yang dibawa oleh Datuk Ong bagi menghadapi saingan Piala Asia B-23 Tahun di China pada 2018 yang menyaksikan Malaysia layak ke peringkat suku akhir dimana mereka tewas kepada Korea Selatan dengan keputusan 2-1.