Skuad Sabah FC sedia memberikan tentangan sengit dalam saingan Liga Super musim ini apabila membawa masuk bekas penyerang kelab divisyen 2 Jepun, Tokyo Verdy, Jailton Paraiba untuk perkuat jentera serangan pasukan tersebut.

Pemain dari Brazil ini mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak Asia kerana pernah beraksi dalam saingan Liga Super China bersama Shanghai Shenxin pada musim 2012 hingga 2014.

Bersama Shanghai, beliau telah menjaringkan 8 gol dalam 67 penampilan. Paraiba kemudian menyertai kelab divisyen 2 China, Yanbian Changbaishan pada musim 2015 dan berjaya membantu pasukan tersebut menjuarai liga sehingga layak ke Liga Super China.

Selepas 6 tahun beraksi di China dengan rekod 40 gol dalam 166 penampilan secara keseluruhan, Paraiba telah dipancing oleh kelab dari Super Liga Turkiye, Gençlerbirliği S.K. dengan kontrak selama 3 tahun.

Prestasi cemerlang bersama Gençlerbirliği telah menarik minat Tokyo Verdy untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut pada musim 2019.

Bagaimanapun, Paraiba tidak dapat minit permainan yang banyak dalam saingan J.League 2 kerana kerap dibelenggu masalah kecederaan walaupun sempat menjaringkan 4 gol dalam 21 pemampilan.

Pemain berusia 32 tahun ini kemudian kembali ke China tahun lepas untuk menyertai kelab kerdil, Qingdao Youth Island yang mana beliau merupakan antara pemain terbaik buat pasukan tersebut.

Dalam 28 penampilan, Paraiba berjaya merekodkan lapan jaringan peribadi dan lima bantuan gol untuk membantu pasukan itu menduduki tangga kesembilan daripada 18 pasukan.

Kehadiran Paraiba sekali gus mengisi posisi sayap kanan dengan usia Amri Yahyah semakin lanjut untuk menajamkan lagi jentera serangan pasukan Sang Badak.