Sabah muncul pasukan pertama tempah tiket ke peringkat suku akhir Piala FA musim 2022 apabila mereka menewaskan kelab Liga Premier, Kelantan United 2-1 di Stadium Likas, semalam.

Dalam perlawanan itu, Kelantan United berjaya memberikan saingan yang sengit kepada skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu namun beberapa peluang terhidang gagal disudahkan dengan baik.

Bagaimanapun, Sabah terlebih dahulu membuka akaun jaringan pada minit ke 42 apabila penyerang import dari Jepun, Taiki Kagayama memanfaatkan situasi bola muntah yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Kelantan United, Fikri Ce Soh.

Memasuki separuh masa kedua, Kelantan United kembali bangkit menyusun gerakan berbahaya dan beberapa kali memberi masalah kepada benteng pertahanan Sabah.

Usaha mereka mengandakan asakan akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang import dari Nigeria, Njoku Jacob melakukan larian solo sebelum melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti untuk menyamakan kedudukan pada minit ke 67.

Perlawanan diheret ke masa tambahan selepas kedudukan terikat 1-1 sehingga tamat masa sebenar permainan.

Penyokong tuan rumah akhirnya menarik nafas lega apabila pemain Indonesia, Saddil Ramdani menjaringkan gol kemenangan apabila mengelcek dua pemain pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan leret pada masa tambahan minit ke 111.

Jaringan itu tidak mematahkan semangat Kelantan United untuk terus memburu gol penyamaan namun kecemerlangan penjaga gol Sabah, Damien Lim telah menafikan beberapa percubaan berbahaya mereka. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

Syihan Hazmi Nafi Baca Mantera Depan Pintu Gol

Lebih 22,000 Penyokong Telah Hadir Menyaksikan Perlawanan Derbi Selatan Di Stadium Paroi

Zhafri Yahya Akui Gol Lawan Penang Yang Tercantik Pernah Dihasilkan