Semalam peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita pemain Kelab Bola Sepak Sabah (Sabah FC) memboikot sesi latihan kerana tidak menerima gaji selama 3 bulan.

Bagaimanapun, pengurusan Sabah FC dalam satu kenyataan hari ini menafikan mereka mempunyai tunggakan gaji lebih sebulan namun mengakui mempunyai beberapa kelewatan dalam urusan pembayaran gaji.

“Setakat ini tiada pemain yang melakukan boikot pada sesi latihan petang semalam. Latihan selesai awal manakala pemain diminta berehat sebelum terbang ke Pulau Pinang hari ini.

“Pihak pengurusan menyangkal dakwaan media ini. Ianya bukan datang daripada kenyataan media rasmi yang dikeluarkan oleh Sabah FC,” kata CEO Sabah FC, Khairul Firdaus Akbar.

Perkembangan  mengenai isu tersebut sebenarnya didedahkan oleh sebuah laman twitter milik penyokong setia Sabah iaitu SabahRhinos dan beberapa penyokong yang berada di stadium tersebut untuk menyaksikan sesi latihan sehingga menjadi tular di media sosial.

Sumber dalaman pasukan berkata, latihan sepatutnya bermula jam 4 petang namun selepas perbincangan hangat di kalangan pemain dan barisan kejurulatihan, sesi berkenaan kemudian dibatalkan.

Firdaus berkata, dalam tempoh tiga bulan, pihak pengurusan baharu mengambil alih sentiasa melakukan yang terbaik untuk memastikan Sabah FC dalam landasan terbaik.

“Pihak pengurusan tidak pernah mengabaikan masalah yang dihadapi pemain sama ada di luar atau dalam padang sehingga menjejaskan prestasi Sabah FC.

“Kita mengesahkan di sini komunikasi diantara pengurusan serta pemain sangat baik. Pihak pengurusan yakin selepas ini semuannya akan berjalan dengan lancar sekaligus mengelak daripada masalah ini berulang di masa depan,” jelasnya.

Baca artikel mengenai isu Sabah FC yang dilaporkan sebelum ini. 

3 Bulan Tidak Dibayar Gaji, Pemain Sabah Boikot Sesi Latihan

Realiti Bola Sepak Malaysia Daripada Situasi Perak Dan Sabah, Mana ECP?