Teka-teki mengenai siapa yang akan menggantikan Lim Teong Kim sebagai Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD) kini memasuki babak baharu apabila Bekas jurulatih remaja Paris Saint-Germain (PSG), Saad Ichalelene disebut-sebut sebagai calon pilihan untuk menggantikan bekas pengendali Bayern Munich itu.

Baru-baru ini, Persatuan Bola­sepak Malaysia (FAM) telah memuatnaik satu artikel khas di laman media sosial rasmi badan tersebut mengenai pengalaman jurulatih warga Perancis berketurunan Algeria itu mengendalikan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan tindakan FAM itu seakan-akan menjadi indikasi jelas bahawa Saad merupakan calon pilihan untuk menggantikan LTK.

Saad Ichalelene menggalas jawatan sebagai Pengarah Teknikal NFDP bermula awal tahun ini setelah sebelumnya beliau menjadi Ketua Metodologi Kejurulatihan dan Peninjau Bakat NFDP sejak 2016. FAM menyifatkan Saad memainkan watak penting dimana beliau telah menanam DNA permainan moden dalam kala­ngan pelatih. Kehadiran Saad nyata membawa impak positif apabila skuad B-12 tahun negara berjaya menduduki tempat ketiga dalam kejohanan Piala Soong Ching Ling yang berlangsug di China minggu lalu.

FAM berkata: Apabila Lim Teong Kim dipindahkan menjaga kelompok elit yang kecil di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) pada 2016, Saad yang juga bekas jurulatih remaja Paris St Germain dilantik sebagai Ketua Metodologi Kejurulatihan dan Peninjau Bakat, ditemani Franck Plaine dan Abdifitaah Mohd Hassan, bagi menerapkan kaedah kejurulatihan dan corak permainan dari negara yang melahirkan Paul Pogba dan Kylian Mbappe ke semua peringkat Akademi Tunas (AT), Pusat Latihan Daerah (PLD) dan Sekolah Sukan Negeri (SSN).

Saad Ichalelene
Saad ketika bersama pelatih NFDP.
Sumber Gambar: FAM

Nasib Lim Teong Kim akan diketahui dalam masa terdekat apabila FAM mengadakan mesyuarat khas pada hari ini dimana mesyuarat tersebut turut melibatkan Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan jurulatih skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee.

Teong Kim menegaskan sekiranya kontrak beliau tidak disambung, maka jurulatih yang pernah mengendalikan Thomas Muller itu akan pulang ke Muncih.