Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Mochamad Iriawan Alias Iwan Bule mengesahkan lagenda bola sepak belanda, Ruud Gullit antara calon terbaharu yang bakal menggantikan tempat Simon McMenemy sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia.

Iwan Bule menjelaskan pihaknya sudah menghubungi lagenda itu sejak mingggu lalu namun belum ada sebarang jawapan. Mereka akan menunggu sehingga akhir bulan ini sebelum membuat keputusan rasmi.

“Tetapi belum ada jawapan dari dia. Kita minta setiausaha berkomunikasi dengan kelab dia di Belanda. Belum ada kepastian dia mahu atau tidak. Semoga ada khabar daripadanya” kata Iwan Bule, seperti dipetik dalam  Kompas.com.

Ruud Gullit. (Foto: Daily Mail).
Ruud Gullit. (Foto: Daily Mail).

Ruud Gullit merupakan nama yang besar dalam arena bola sepak dunia kerana mempunyai pengalaman luas sebagai pengurus kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea, Newcastle United, LA Galaxy serta menjadi pembantu jurulatih skuad kebangsaan Belanda.

Ketika zamannya sebagai pemain, beliau pernah merangkul gelaran Ballod d’Or pada tahun 1987 selain memperkuatkan beberapa kelab gergasi eropah seperti Feyenoord, PSV Eindhoven, AC Milan, dan Chelsea.

Sebelum ini, bekas pengendali skuad Piala Dunia Korea Selatan, Shin Tae-yong dilaporkan telah menolak tawaran daripada PSSI dan semakin hampir menyertai sebuah kelab Liga Super China dalam masa terdekat.

Tae-yong sempat mengadakan perbincangan bersama Iwan Bule di Kuala Lumpur.  Namun difahamkan mereka tidak mencapai persetujuan dalam beberapa perkara.

Selain Tae-yong, seorang lagi calon yang menjadi pilihan untuk melatih skuad Garuda ialah jurulatih dari Sepanyol, Luis Milla. Malah, beliau sanggup menurunkan gajinya dan berharap PSSI dapat menimbangkan permohonannya untuk kembali ke Indonesia.

Indonesia kini menghuni kedudukan tercorot dalam kumpulan G kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tanpa sebarang mata selepas tewas dalam 5 perlawanan.

Mereka tekad bangkit untuk mencari kemenangan pertama dalam perlawanan menentang Thailand pada tahun depan.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Chanathip Songkrasin Sah Akan Kekal Beraksi Bersama Hokkaido Consadole Sapporo Musim 2020.

Bekas Penyerang Felda United, Thiago Augusto Kini Merupakan Pemain Naturalisasi Bahrain

Park Hang-seo Anggap Temasya Sukan SEA Satu Kejohanan Yang Mencabar