Rusia mahu meninggalkan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) setelah disingkirkan dari saingan Liga Juara-Juara, Liga Europa dan kelayakan Piala Dunia.

Menurut laporan Daily Mail Persekutuan Bola Sepak Rusia (RFU) mengambil keputusan sedemikian setelah pasukan kebangsaan dan kelab dari negara itu tidak dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam kejohanan dibawah UEFA dan FIFA ekoran pencerobohan terhadap Ukraine.

Kesannya, skuad kebangsaan negara itu tidak dapat beraksi dalam saingan kelayakan Piala Dunia dan salah satu kelab, Spartak Moscow turut disingkirkan dari saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Laporan di beberapa laman sukan negara tersebut mendakwa RFU mahu berada di bawah naungan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan perkara ini bakal dibincangkan oleh badan bola sepak Rusia.

Akan tetapi, pertukaran ini dilihat sukar dimana Rusia perlu mendapat sokongan daripada ahli AFC dan perkara ini dijangka sukar untuk dilaksanakan.

Sebelum ini, terdapat beberapa pertukaran mengenai persekutuan seperti Kazakhstan yang sebelum ini merupakan ahli AFC kemudiannya bertukar kepada UEFA. Australia meninggalkan Oceania dan menyertai AFC pada 2005.

Antara tindakan yang dikenakan ke atas Rusia ekoran menceroboh Ukraine adalah EA Sports mengumumkan bahawa mereka sedang dalam proses untuk mengeluarkan pasukan kebangsaan dan kelab negara itu daripada FIFA 22.

“EA Sports berdiri teguh dalam solidariti untuk rakyat Ukraine dan seperti banyak suara di seluruh dunia bola sepak, menyeru kepada keamanan dan menamatkan pencerobohan ke atas Ukraine.

“Selaras dengan rakan kongsi kami di FIFA dan UEFA, EA Sports telah memulakan proses untuk mengeluarkan pasukan kebangsaan dan semua kelab Rusia daripada produk EA Sports FIFA termasuk: FIFA 22, FIFA Mobile dan FIFA Online.

“Kami juga secara aktif menilai perubahan berkaitan dengan bidang lain permainan kami.”

“Kami akan memastikan komuniti kami mendapat maklumat terkini tentang sebarang tindakan yang diambil, dan berterima kasih kepada pemain atas kesabaran mereka semasa kami berusaha melalui kemas kini ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Eropah di sini:

Bonucci Anggap Format 1 Perlawanan Sebagai Tidak Adil

Rooney: Ronaldo Memang Kaki ‘Diving’ Dan Merimaskan

Van Gaal: Ten Hag Seharusnya Sertai Kelab Bola Sepak Sebenar Bukannya Manchester United