Atlet dari Belarus dan Rusia berpeluang bertanding dalam Sukan Asia 2022 di Hangzhou September depan apabila menerima jemputan daripada Majlis Olimpik Asia (OCA) sebagai ‘kelayakan’ untuk menyertai Olimpik 2024 Paris.

Kedua-dua negara itu dihalang daripada mengambil bahagian dalam acara sukan antarabangsa utama ekoran isu pencerobohan terhadap Ukraine.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sebelum ini menjelaskan kebenaran untuk atlet dari Russia beraksi di Sukan Olimpik 2024 turut ‘dipertimbangkan’ sekalipun timbul desakan supaya atlet dari negara terbabit dihalang daripada temasya itu.

“Semua atlet tanpa mengira kerakyatan atau pasport yang dipegang seharusnya dibenarkan bertanding dalam pertandingan sukan,” kata OCA dalam satu kenyataan.

Sukan Asia yang sepatutnya berlangsung di Hangzhou, China tahun lalu ditunda ke September depan susulan pandemik COVID-19.

Rusia biasanya bersaing sebagai sebahagian daripada Eropah tetapi mempunyai hubungan yang tegang dengan kebanyakan negara yang ditetapkan sekaligus dihalang menyertai acara kelayakan di sana.

Rusia dan Belarus telah dihalang daripada hampir semua pertandingan antarabangsa dalam sukan Olimpik berikutan pencerobohan Ukraine.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menegaskan Rusia sepatutnya “tiada tempat” di sana. Ukraine sedang berusaha untuk mendapatkan sokongan daripada negara lain terhadap rancangan yang diuruskan oleh IOC.

“IOC telah mengabaikan jenayah perang Rusia, dengan mendakwa bahawa ‘Tiada atlet harus dihalang daripada bertanding hanya kerana pasport mereka’, manakala atlet Ukraine terus dibunuh oleh Rusia kerana pasport mereka. Saya menggesa semua tokoh sukan untuk menyatakan pendirian mereka ,” kata Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba.

Sebelum ini, Kesatuan bola Sepak Rusia (RFU) mempertimbangkan untuk meninggalkan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) demi menyertai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Sekiranya Rusia menjadi sebahagian dari Asia, maka kita mungkin akan melihat pasukan bola sepak negara itu beserta kelab akan beraksi dalam kejohanan seperti Piala Asia, Sukan Asia dan AFC Champions League (ACL).