Kesatuan Bola Sepak Rusia (RFU) sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) demi menyertai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Menurut laporan daripada media eropah, RFU bakal adakan mesyuarat lembaga Eksekusif dalam masa terdekat untuk membincangkan tentang cadangan sertai bola sepak Asia bagi membolehkan pasukan kebangsaan mereka kembali beraksi.

“Kami akan mempertimbangkan perkara ini dalam mesyuarat lembaga eksekutif. Saya tidak pasti sebarang keputusan yang akan diluluskan tetapi keadaan memerlukan perbincangan.

“Saya belum bercakap dengan wakil Asia lagi kerana UEFA masih menganggap kami ahli keluarga Eropah. Kami melaksanakan semua program dan mengambil bahagian dalam pembiayaan projek . Adalah tidak menyenangkan bagi kami untuk terlibat dalam perbincangan tanpa mereka.

“Saya berkata adalah penting bagi kami untuk mengadakan perlawanan antarabangsa secara rasmi. Dua tahun dilanda wabak coronavirus, dan kini kami digantung,” kata Presiden RFU, Alexander Dyukov.

Bulan Februari lalu, pasukan kebangsaan Rusia dan kelab dari negara itu tidak dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam pertandingan dibawah kelolaan UEFA dan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) ekoran isu pencerobohan terhadap Ukraine.

Kesannya, Rusia tidak dapat beraksi dalam saingan kelayakan Piala Dunia dan salah satu kelab, Spartak Moscow turut disingkirkan dari saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

https://twitter.com/Joelrookwood/status/1596958303380127745?s=20&t=faY4yP4CBhZ28GRJuCL13A

Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Julai menolak rayuan yang difailkan oleh RFU dan empat kelab Rusia terhadap keputusan FIFA dan UEFA untuk melarang mereka daripada semua pertandingan sehingga diberitahu kelak.

Sepanjang penggantungan tersebut, Rusia sempat mengadakan perlawanan persahabatan menentang Kyrgyzstan (2-1), Tajikistan (0-0), dan Uzbekistan (0-0).