Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

“Trofi kasut emas hanya simbol tapi pencapaian sebagai penjaring terbanyak dalam Liga Malaysia 2018 akan kekal selama-lamanya, kata pemenang kasut emas tahun lalu Rufino Segovia.

Segovia, penyerang import Selangor dari Sepanyol meledak 31 gol dalam saingan unifi Liga Super musim lalu untuk muncul penjaring terbanyak dan meraih Anugerah Kasut Emas pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018.

Bagi pemain berusia 33 tahun itu, tiada sebab untuk dia tidak berbangga dengan trofi kasut emas yang diraih itu.

“Pada saya trofi yang saya terima itu bagus dan saya bangga untuk menerima trofi kasut emas itu, ia kenangan manis dalam hidup saya dan jika trofi itu pudar sekali pun, hakikatnya sejarah yang saya cipta atas bantuan dan sokongan rakan sepasukan ini tidak akan padam,” katanya.

Sementara itu, Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar menganggap memiliki trofi memiliki kepuasan nilai sentimental tersendiri daripada memperolehi wang tunai dalam mana-mana anugerah peribadi antaranya kategori pemenang kasut emas.

Jelas Baddrol yang pernah memenangi kasut emas bagi kategori pemain tempatan pada 2017, trofi adalah lebih relevan buat pemain-pemain kerana ia menjadi penanda terbaik buat kejayaan terbaik peribadi sepanjang dalam karier mereka.

Lebih tepat, pemain tengah yang berusia 31 tahun itu berkata trofi adalah lebih ideal dan sinonim dengan kejayaan peribadi pemain dalam usaha menghargai pencapaian terbaik mereka.

“Secara peribadi, jika diberikan pilihan (sama ada trofi atau wang tunai) saya akan memilih trofi. Wang tetap akan habis tetapi trofi akan kekal bersama pemain.

“Sebagai contohnya, pemenang Ballon d’Or sendiri pun tidak mendapat wang tunai tetapi sebaik mereka berjaya memegang trofi itu sukar untuk menggambar kepuasan tersebut. Mungkin Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) tidak seprestij Ballon d’Or tetapi pemain Liga Malaysia pun berkongsi perasaan sama seperti mereka.

“Saya masih mengingati kejayaan itu ketika memenangi ABK 2017 dan daripada emosi saya sendiri, saya sangat terharu dan gembira kerana ada satu ‘benda’ yang menjadi penanda untuk pencapaian terbaik saya pada tahun itu.

“Perjalanan karier bola sepak bukanlah tempoh lama dan banyak kenangan pahit manis pemain. Jadi, kejayaan (anugerah) peribadi seperti kasut emas sangat bermakna buat pemain seperti kami dan saya fikir kami lebih gemar memiliki trofi berbanding wang tunai,” katanya.

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group