Penyerang Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Md Rozaimi Abd Rahman mengakui bukan mudah untuk membuktikan kembali keupayaannya beraksi dalam kesebelasan utama selepas bergelut dengan kecederaan akibat kemalangan empat tahun lalu.

Bekas pemain Sabah ini terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan kepercayaan beraksi dalam skuad utama musim ini termasuk diturunkan dalam perlawanan penting aksi separuh akhir Challenge Cup dan terbaru, final pertama di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Jumaat lalu.

Namun pemain yang pernah disenaraikan dalam 10 pemain terbaik Asia pada tahun 2012 ini masih belum berpuas hati dengan prestasinya sambil menyifatkan dirinya sedang berusaha untuk mendapatkan kembali momentum di atas padang.

Rozaimi

Sumber Gambar: JST

“Selepas kemalangan pada tahun 2015, memang saya makan masa untuk betul-betul sembuh dan bukan mudah untuk kembali cergas seperti sebelum ini. Apabila dapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama, saya akan buktikan sedaya upaya kemampuan yang ada tetapi semua itu bukan senang kerana perlu bersaing juga dengan pemain lain.

“Memang saya tidak berpuas hati lagi dan masih banyak kerja rumah yang perlu dibuat untuk mendapatkan momentum itu dan saya tidak boleh selesa dengan prestasi sekarang ini,” jelasnya.

Pemain berusi 27 tahun ini berjaya menjaringkan enam gol di saingan Liga Premier 2019 dan dua gol dalam aksi Challenge Cup musim ini. Namun, tugas berat masih menanti dirinya dan rakan sepasukan apabila bakal membuat perhitungan di final kedua menentang UKM FC pada Sabtu ini bagi merebut trofi Challenge Cup 2019.

Rozaimi

Sumber Gambar: JST

Kemenangan 1-0 yang diraih dalam final pertama tempoh hari masih belum menjamin laluan mudah buat JDT II dan mereka harus mempamerkan aksi lebih aggresif pada pertembungan kedua.

“Bagi saya, keputusan 1-0 itu belum lagi selamat kerana aksi timbal balik nanti sukar untuk dijangka dan UKM FC juga beraksi tidak kurang hebatnya pada minggu lalu. Saya sendiri pun masih banyak lagi kekurangan di atas padang dan perlu memperbaiki apa jua kelemahan yang ada untuk kami meletakkan jurang lebih besar.

“Dalam final pertama tempoh hari, kami banyak kehilangan bola dan akhirnya hanya berupaya memperoleh satu gol sahaja sebagai bekalan,” katanya.

Baca artikel lain mengenai Johor Darul Ta’zim II di sini:

Ervin Boban Mahu Anak Buah Berikan Persembahan Terbaik

Ervin Boban Gunakan Challenge Cup Sebagai Medan Uji Pemain Muda

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group