Masa depan Rozaimi Abdul Rahman bersama Johor Darul Ta’zim menjadi tanda tanya setelah bekas pemain skuad bawah 23 tahun negara itu memberi bayangan beliau akan meninggalkan pasukan Harimau Selatan.

Rozaimi memuat naik satu gambar di Instagram milik beliau dengan menggunakan caption #BulanTerakhir. Ini menandakan bulan April merupakan bulan terakhir Rozaimi menyarung jersi JDT dan mungkin menyertai pasukan lain dalam Liga Malaysia.

https://www.instagram.com/p/BwEPJQTBmdt/

Rozaimi menyertai Johor Darul Ta’zim pada 2016 dan menandatangani kontrak selama tiga tahun setelah beliau pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami ketika terlibat dalam satu kemalangan yang turut mengorbankan sepupu beliau pada Julai 2015.

Pada mulanya, pemain berusia 27 tahun ini diletakkan di dalam skuad utama. Namun, tidak lama selepas itu, Rozaimi banyak beraksi bersama Johor Darul Ta’zim II dalam saingan Liga Perdana dan hanya beberapa kali sahaja tampil bersama pasukan utama.

Rozaimi Abdul Rahman
Sumber Gambar: JST

Jika benar Rozaimi meninggalkan Johor Darul Ta’zim, maka yang menjadi persoalan ialah pasukan mana yang akan disertai oleh beliau. Sama ada pemain yang pernah digelar “Neymar Malaysia” ini kekal beraksi di Liga Perdana ataupun menyertai pasukan Liga Super.

Sebelum beraksi bersama JDT, Rozaimi pernah beraksi bersama pasukan negeri kelahiran beliau iaitu Sabah, Sarawak, Harimau Muda A dan juga pasukan Selangor secara pinjaman.