Bekas pengurus Fiorentina dan Lazio, Delio Rossi tanpa berselindung berpendapat bahawa Jose Mourinho dan Simone Inzaghi bakal menjadi pengendali terawal yang akan dipecat dalam saingan Serie A musim ini.

Mourinho memeterai kontrak selama tiga musim bagi membimbing AS Roma dimana tawaran itu hadir hanya selepas dua minggu beliau dipecat kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur.

Manakala, Simone Inzaghi yang sebelum ini membimbing Lazio telah dilantik sebagai pengurus baharu Inter Milan dengan kontrak selama dua tahun bagi menggantikan Antonio Conte.

Sehubungan dengan itu ketika menjawab pertanyaan dalam satu temubual bersama sebuah radio tempatan menurut laporan Football Italia mengenai siapakah yang bakal menjadi mangsa pemecatan pada musim 2021/22 ini, Rossi melihat kecendurangan buat dua pengendali tersebut dan memberikan alasannya.

“Sudah tentu sahaja, Mourinho, seperti yang saya tahu bagaimana rasanya bekerja di Rome. Saya juga akan mengatakan Inzaghi, kerana bukan perkara mudah baginya di Inter.”

“Dia mengambil alih pasukan yang baharu sahaja memenangi Scudetto [juara Serie A] dan dibandingkan dengan pengurus terdahulu, Antonio Conte, dia sekurang-kurangnya perlu untuk memenangi sesuatu,” ujar Delio Rossi lagi.

Selain itu, Rossi turut melihat tugas sukar bakal digalas pengurus baharu Lazio, Maurizio Sarri kerana beliau memerlukan masa untuk menerapkan falsafah permainannya serta terpaksa berhadapan dengan pemain-pemain yang ingin meninggalkan pasukan.

Jose Mourinho bagaimanapun bukanlah calang-calang pengurus dalam kancah di Itali apabila beliau pernah mengemudi Inter Milan menjuarai ‘Treble’ pada musim 2009/10 dengan menjuarai Liga Juara-Juara Eropah, Serie A dan Coppa Italia.

Sementara itu, Simone yang merupakan adik kepada Filippo Inzaghi itu pula pernah menjulang kejuaraan Coppa Italia bersama Lazio pada musim 2018/19.

Baca artikel lain mengenai Jose Mourinho dan Simone Inzaghi:

Skrin Gergasi Di Padang Latihan Antara Perubahan Diperkenalkan Jose Mourinho Buat AS Roma

Mourinho: “Hazard Seorang Pemalas Di Sesi Latihan Dan Hanya Bergantung Pada Bakatnya”

Presiden Inter Milan Dedahkan Sebab Perpisahan Dengan Antonio Conte