Cristiano Ronaldo telah menerima tawaran rasmi yang sangat lumaya daripada kelab Arab Saudi iaitu Al Nassr.

Kelab Arab itu sedia membayarnya hampir €200 juta (£173 juta) semusim dengan kontrak sehingga 2025.

Beberapa laman terkemuka termasuk The Guardian dan pakar perpindahan Eropah, Fabrizio Romano turut mengesahkan perkara tersebut.

Namun Fabrizio menyatakan bahawa Ronaldo masih belum memberikan persetujuan untuk kontrak lumayan itu kerana ketika ini dia masih fokus kepada tugasan Piala Dunia 2022 bersama dengan Portugal.

Menurut laporan yang sama, kontrak lumayan itu turut melibatkan isu tajaan.

Tidak pasti sama ada Ronaldo akan bersetuju dengan tawaran Al Nassr berkaitan dengan butiran tajaan, melibatkan hak imej peribadi pemain itu.

Ini bukan pertama kali Ronaldo menerima tawaran daripada Timur Tengah. Sebelum ini sebuah kelab dari Arab dilaporkan menawarkan kontrak sangat lumayan kepada Ronaldo namun dia menolaknya.

Kerana dia masih mahu bermain di peringkat tertinggi di liga utama Eropah. Ronaldo ketika itu mendesak kelab menjualnya ke kelab yang bermain di UCL.

Pemain berusia 37 tahun itu adalah ejen bebas selepas meninggalkan Manchester United dengan penamatan kontrak atas persetujuan bersama. Ini selepas dia terlibat dalam wawancara kontroversi yang tidak berlapik dengan Piers Morgan.

Dalam wawancara itu, Ronaldo mengutuk kelabnya sendiri dan pengurus kelab. Dia melabel Erik Ten Hag sebagai tidak menhgormatinya.

Ronaldo juga kesal dengan Manchester United yang tidak mementingkan aspek pembangunan bola sepak berbanding isu komersial.

Dia memberikan contoh, banyak peralatan di kelab itu yang sudah lapuk dan masih tidak diganti. Peralatan yang sama dia gunakan ketika dia menyertai kelab itu masa dia muda dahulu.

Dia juga mendedahkan ada beberapa individu di dalam Manchester United tidak senang dengan kehadirannya sejak hari pertama, dan mahu melihat Ronaldo keluar dari kelab itu.

Beberapa kelab Eropah masih berminat dengan Ronaldo. Begitu juga dengan kelab di Amerika Syarikat. Ronaldo sebelum ini dilaporkan masih mahu bermain di UCL. Yang menjadi sebab utamanya mahu meninggalkan Man United sebelum ini.

Ronaldo juga dikatakan sudah mengarahkan Jorge Mendes untuk berunding semula dengan Bayern Munich. Namun Oliver Kahn mendedahkan bahawa kelab itu kekal dengan pendirian mereka sebelum ini, bahawa mereka tidak berminat mendapatkan pemain itu.