Bekas pengurus yang juga legenda kelab Barcelona, Ronald Koeman mendedahkan bahawa Frenkie De Jong memberitahunya bahawa dia [De Jong] mahu terus kekal di Barcelona.

Rundingan antara Manchester United dengan Barcelona untuk perpindahan De Jong dilaporkan semakin menuju ke garisan penamat. Sama ada ianya akan berjaya atau tidak, akan diketahui tidak lama lagi.

Ini selepas Manchester United meletakkan 30 Jun sebagai tarikh akhir untuk rundingan ini.

Erik Ten Hag terdesak mahu bergabung semula dengan Frenkie De Jong selepas mereka bekerjasama ketika di Ajax dahulu.

Namun begitu, De Jong mengulangi semula pendiriannya, bahawa dia mahu terus kekal di Barcelona. Di mana kelab tersebut merupakan kelab yang dia sokong sejak kecil lagi.

Situasi kewangan Barcelona membuatkan kelab itu terdesak mahu menjual De Jong kepada Manchester United.

Barca dilaporkan sudah meyakinkan De Jong agar menerima syarat perpindahan tersebut.

Tetapi Ronald Koeman pula menyatakan perkara yang berbeza. Di mana pemain tengah antarabangsa Belanda itu benar benar berharap dia akan terus kekal di Nou Camp.

Koeman berkata kepada wartawan: “Apa yang saya tahu, Frenkie De Jong mahu terus kekal di Barcelona.”

“Dia beritahu saya sendiri perkara itu, 2 hari yang lalu.”

“Cuma saya tak tahulah kalau Barca yang mahu menjualnya. Kerana dia merupakan salah seorang pemain yang memiliki tanda harga yang tinggi,” tegas Koeman.