Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Cristiano Ronaldo masih tidak berganjak dengan kemahuannya untuk meninggalkan Manchester United. Menurut Duncan Castles, pemain itu sudah bercakap sendiri dengan pengurusan tertinggi kelab bersama dengan ejennya.

Dan dia memberitahu Man United agar membiarkan sahaja dia pergi meninggalkan pasukan itu pada jendela perpindahan kali ini.

Ini adalah pertama kali Cristiano Ronaldo melapor diri dalam pasukan Erik Ten Hag selepas diberikan cuti khas kerana masalah keluarga.

Dia tidak terlibat dalam jelajah pra musim di Asia dan juga Australia.

Manchester United masih kekal dengan pendirian bahawa mereka tidak mahu melepaskan pemain itu. Dan laporan menyebut bahawa Ronaldo bermain buah keras apabila meminta kelab itu melepaskannya secara percuma.

The Mail melaporkan bahawa Manchester United menolak permintaan Ronaldo itu. Kerana dia masih berada dalam perancangan kelab. Selain itu, Manchester United masih belum menerima sebarang tawaran konkrit untuk kapten antarabangsa Portugal itu.

Ducan Castles merupakan wartawan kegemaran Jorge Mendes dan seringkali mendapat informasi segera daripada ejen tersebut.

Ronaldo kecewa tidak dapat bermain di dalam UCL. Kerana dia mahu menghabiskan baki kariernya bermain di pertandingan tertinggi kelab eropah itu.

Sebelum itu Jorge Mendes turut mencadangkan agar Manchester United melanjutkan kontrak Ronaldo setahun lagi dan sebagai pulangan, pemain itu hanya akan pergi secara pinjaman musim ini ke kelab bermain di UCL.

Nampaknya cadangan itu kurang menarik perhatian Man United kerana lebih kepada menguntungkan satu pihak. Pastinya United akan menanggung sebahagian daripada gaji Ronaldo yang sangat tinggi.

Jorge Mendes masih optimis bahawa dia akan dapat membantu kliennya itu keluar. Situasi yang sama rumit berlaku ketika Ronaldo meminta keluar dari Juventus musim lalu, di mana kelab itu juga awalnya berkeras enggan melepaskan pemain itu.

Dan akhirnya Ronaldo tetap pindah juga dengan nilai EUR25 juta dibayar oleh Manchester United yang memintas City pada saat akhir.

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group