Peledak berbisa, Romelu Lukaku menganggap langkahnya meninggalkan Manchester United bagi menyertai Inter Milan adalah satu keputusan yang tepat buat dirinya.

Meninggalkan Old Trafford pada musim 2019/20, Lukaku pantas memberikan sumbangan berkesan buat Inter Milan dan pada musim ini beliau sudah berjaya meledakkan 20 jaringan selepas mengharungi 28 perlawanan.

Skuad bimbingan Antonio Conte itu juga kini berada di landasan tepat untuk menjulang kejuaraan Serie A sejak kali terakhir memenanginya pada musim 2009/10 apabila sedang memimpin carta liga dengan kelebihan lapan mata di hadapan musuh tradisi, AC Milan.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan kehadiran Lukaku telah memberikan kekuatan di jentera serangan Inter Milan.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Ini merupakan satu perlawana yang sangat sukar (menang 1-0 keatas Bologna). Kami berjaya mencatatkan kemenangan penting dan kami perlu mengekalkan rentak ini.’’

“Ia juga menjadi keadaan yang luar biasa buat saya. Saya membuat keputusan yang tepat untuk berhijrah ke sini,’’ ujar Lukaku menurut laporan dikeluarkan Goal Indonesia.

“Saya akan melakukan segala yang termampu untuk membantu pasukan, saya bukan sesiapa tanpa rakan sepasukan. Pasukan merupakan perkara yang utama. Kami mempunyai sasaran dan perlu mengekalkan rentak positif ini,’’ tambah Romelu Lukaku lagi.

Lukaku kini hanya kekurangan empat jaringan berbanding Cristiano Ronaldo untuk menjadi penjaring kedua terbanyak Serie A 2020/21.