Setelah dua musim beraksi bersama PKNS FC, pemain import dari Colombia, Romel Morales bakal menyarung jersi Melaka United bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) menerusi laman media sosial rasmi pasukan dimana Romel menjadi pemain kedua yang dibawa masuk setelah sebelum ini bekas pemain tengah Felda United, Curran Ferns turut menandatangani kontrak bersama juara Liga Perdana 2016 itu.

Pemain berusia 22 tahun itu meninggalkan PKNS susulan kelab tersebut bakal dijadikan feeder team kepada pasukan Selangor dan perkara ini membuatkan PKNS tidak boleh beraksi dalam saingan Liga Super.

Pasukan yang bakal dijenamakan kepada Selangor II ini akan beraksi di Liga Perdana dan terdapat ura-ura mengatakan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mahu menggunakan khidmat pemain tempatan sepenuhnya khususnya pemain muda bagi memperkuatkan Selangor II.

Selama dua musim bersama PKNS, Romel Morales membantu The Red Ants menamatkan saingan Liga Malaysia 2018 di tangga ke-3 bagi Liga Super, peringkat separuh akhir Piala FA dan peringkat suku akhir Piala Malaysia. Bagi musim 2019 pula, PKNS menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-9, peringkat suku akhir Piala FA serta peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Dijangka lebih ramai pemain PKNS akan meninggalkan kelab dan beraksi bersama pasukan baharu musim hadapan.

Baca artikel lain mengenai PKNS FC yang telah kami sediakan di sini:

PKNS FC Jadi ‘Feeder Club’ Kepada Selangor

PKNS FC Jadi ‘Feeder Club’ Kepada Selangor