Penjualan Chelsea kini menjadi semakin sulit selepas Roman Abramovich dikatakan secara tiba tiba membuat pusingan U dan meminta £1.6 billion hutang kelab dengannya untuk dibayar.

Sebelum ini Abramovich berikrar untuk menghanguskan hutang tersebut demi untuk memudahkan penjualan Chelsea dan tidak mengganggu kewangan kelab pada masa akan datang.

Berita itu hadir selepas orang terkaya di Britain Sir Jim Ratcliffe menghantar bidaan rasmi £4.25bn pada Jumaat untuk memiliki Chelsea. Walaupun usahawan Amerika Syarikat, Todd Boehly dikatakan kekal menjadi pendahulu persaingan.

The Times melaporkan bahawa pengurusan sementara kelab Chelsea, sudah memberitahu kerajaan UK tentang bidaan daripada beberapa firma dan pada masa yang sama mereka sedang menstruktur semula proses penjualan. Ini termasuk menyertakan hutang bernilai £1.6bn oleh Chelsea pada Roman Abramovich secara peribadi menerusi syarikat induk Fordstam Ltd.

Sebelum ini Abramovich disekat oleh kerajaan UK kerana pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Di mana kerajaan UK mengaitkan Abramovich sebagai penyokong tegar presiden Rusia, Vladimir Putin.

Sehari sebelum dikenakan sekatan rasmi, Abramovich mengumumkan dia mahu menjual Chelsea dan hutang kelab dengan beliau akan dikira hangus. Selain itu Abramovich turut berjanji kesemua wang hasil penjualan kelab akan disalurkan bagi membantu mangsa perang di Ukraine.

Kini pembida kelab tersebut diberitahu bahawa mereka harus membayar hutang bernilai £1.6bn kepada Roman Abramovich.

Buat masa ini, situasi di Chelsea masih rumit. Di mana kelab itu masih dilarang untuk melanjutkan kontrak pemain. Menjual barangan kelab dan juga dipantau perbelanjaan mereka ketika bertandang ke negara lain.

Kerajaan melonggarkan sekatan dengan membenarkan penyokong membeli tiket selepas tempoh sekatan rasmi.

Seterusnya, kelab juga dibenarkan menggunakan wang mereka untuk membayar gaji pemain dan staf. Namun begitu Chelsea hanya akan dibenarkan membeli dan menjual pemain hanya selepas pemilikan baharu disahkan kerajaan.

Koresponden Rob Draper risau jika Abramovich benar benar mahu meminta semula wangnya bernilai £1.6bn, kelab tersebut tidak akan dapat dijual sebelum tarikh akhir 31 May yang ditetapkan kerajaan.

Jika itu berlaku, Chelsea berisiko akan disita oleh kerajaan UK sepenuhnya. Dan tidak pasti apa yang akan berlaku kepada kelab selepas ini.