Persatuan Bola Sepak Emiriah Arab Bersatu (UAE FA) telah mengenalpasti beberapa calon jurulatih baharu bagi menggantikan tempat Ivan Jovanovic yang dipecat minggu lalu walaupun baru dilantik pada bulan Disember 2019.

Menurut laporan daripada The National, bekas pengurus Shabab Al Ahli, Rodolfo Arruabarrena telah menyatakan minatnya dan kini menjadi pilihan utama untuk mengendalikan skuad UAE bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan datang.

Jurulatih yang berusia 44 tahun itu dilihat sebagai calon yang sesuai kerana beliau amat mengenali bola sepak UAE dan telah lama berada di negara itu sejak tahun 2016.

Arruabarrena mempunyai rekod baik dalam karier jurulatihnya kerana pernah membawa kelab gergasi Amerika Selatan, Boca Junior muncul sebagai juara Superliga Argentina pada tahun 2015 dan Copa Argentina pada musim 2014/2015.

Selepas 6 tahun melatih kelab Argentina, beliau berhijrah ke Asia pada tahun 2016 untuk membimbing kelab Qatar, Al Rayyan serta dua kelab UAE iaitu Al Wasl dan Shabab Al Ahli serta membantu mereka meraih pelbagai kejuaraan antaranya Piala Sheikh Jassim, Piala Presiden UAE dan Liga Pro UAE.

AR-190319442
Rodolfo Arruabarrena. FOTO: Khaleej Times

Selain Arruabarrena, dua calon lain yang berada dalam pertimbangan UAE FA ialah pengurus pasukan naib juara Piala Dunia 2018 (Croatia), Zlatko Dalic dan bekas pengendali Arab Saudi, Juan Antonio Pizzi.

Bagaimanapun, Dalic telah menandatangani kontrak lanjutan dengan Croatia untuk membimbing negara itu dalam kejohanan Eropah tahun depan sekaligus mengesahkan beliau tidak akan mengisi jawatan sebagai Ketua Jurulatih UAE.

Naib Presiden UAE FA, Yousef Al Sahlawi mengakui pihaknya kini amat terdesak untuk mencari jurulatih yang terbaik bagi mencapai dua sasaran badan induk itu iaitu layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dan membentuk pasukan mantap untuk Piala Dunia 2026.

“Kami mahu menamatkan pencarian jurulatih ini secepat mungkin. Kami akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat untuk menimbangkan beberapa nama yang telah dicadangkan,” katanya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak UAE yang dilaporkan sebelum ini.

Sebastian Tagliabue Teruja Dapat Pasport UAE, Tidak Sabar Buat Penampilan Pertama Bertemu Malaysia

Belum Sempat Bertemu Malaysia, UAE Pecat Jurulatih Buat Kali Kedua

Fabio De Lima Sah Jadi Pemain Naturalisasi Ketiga UAE