Di atas kertas, segala-galanya tampak memihak kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi suku akhir pertama TM Piala Malaysia 2021 berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Bagaimanapun, segala ramalan itu tidak mematahkan impian pertahanan Kedah, Rodney Celvin Akwensivie, yang tidak mahu mengaku kalah sebelum berjuang walaupun menghormati kekuatan dimiliki juara bertahan, JDT.

Dia mengharapkan melalui sokongan padu daripada ribuan penyokong setia yang hadir, situasi itu akan membakar lebih semangat pemain-pemain Kedah.

“Sememangnya saya dan rakan-rakan di pertahanan lain kena lebih berdisiplin kerana bertemu JDT, mereka tidak boleh diberi ruang yang banyak.

“Jika berikan lawan kebebasan, kami boleh dihukum oleh JDT dan saya harap aksi pertama di laman sendiri, kami boleh halang mereka membawa gol dari tempat lawan.

“Saya juga harap peminat-peminat Kedah tidak berputus asa untuk menyokong kami kerana melalui sokongan mereka, saya rasa situasi itu akan menambah semangat pemain untuk tampil lebih baik.

“Kami akan cuba sedaya upaya dalam perlawanan ini nanti biarpun kehilangan dua pemain import, Rabih Ataya serta Anumathan Kumar yang bersama pasukan kebangsaan masing-masing, ” katanya.

Rodney Celvin yang baharu pulih dari kecederaan jangka panjang akhirnya telah diturunkan semasa aksi berdepan Kelantan United pada 6 November lalu serta perlawanan menentang Melaka United, tiga hari kemudian.

Kedah bakal menerima kunjungan JDT pada Ahad ini sebelum bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim pada 18 November depan bagi suku akhir kedua.

Aksi suku akhir yang lain antaranya Kuala Lumpur City yang akan turun menentang Selangor, Sabah menentang Melaka United dan Terengganu menentang Sarawak United.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Quentin Cheng Kembali Ke Pangkuan Selangor

Bojan Hodak Merendah Diri, Anggap Selangor Pasukan Pilihan

Samuel Somerville Tinggalkan Penang, Bakal Sertai Selangor