Pengurus skuad kebangsaan Belgium, Roberto Martinez mengesahkan bahawa beliau akan meninggalkan pasukan yang mula dibimbingnya sejak Mac 2016 itu.

Ia jelas merupakan hadiah perpisahan yang mendukacitakan buat kedua-dua belah pihak selepas Belgium gagal melepasi peringkat kumpulan dalam kempen Piala Dunia 2022.

Meskipun dilabel sebagai antara pasukan yang mampu untuk menjadi pencabar kejuaraan, Belgium bagaimanapun tampil hambar dimana hanya mampu menjaringkan satu gol pada edisi kali ini.

Selepas berakhirnya tiga perlawanan peringkat kumpulan, The Red Devils hanya mampu mencatatkan satu kemenangan (1-0 bertemu Canada), satu keputusan seri tanpa jaringan dengan Croatia dan mengalami satu kekalahan ketika menentang Maghribi.

Keadaan yang menyebabkan mereka hanya mampu menamatkan saingan ditangga ketiga dengan empat mata dimana Maghribi dan Croatia menempah tiket ke pusingan 16 sebagai wakil kumpulan F.

“Ini merupakan perlawanan terakhir saya bersama skuad kebangsaan dan ia adalah satu emosi yang anda boleh bayangkan,” ujar Roberto Martinez menurut laporan The Guardian.

“Ia akan menjadi penamat dimana kami akan menjadi juara dunia atau tersingkir di peringkat kumpulan. Ia tiada kaitan dengan tersingkir di peringkat ini. Ini merupakan masa untuk menerima bahawa hari ini adalah perlawanan terakhir bagi saya.”

“Saya mengambil keputusan itu sebelum bermulanya Piala Dunia. Saya sentiasa bekerja dalam jangka masa panjang. Saya percaya projek jangka panjang perlu dijalankan dalam jangka masa panjang dan ia perlu ditetapkan dengan lebih awal.”

“Seperti yang anda boleh bayangkan, sejak 2018 saya mempunyai banyak peluang untuk meninggalkan pasukan untuk mengambil jawatan di peringkat kelab.”

“Saya sentiasa mahu menjadi seorang yang setia, saya sentiasa mahu menyelesaikan kerja dan sekarang saya tidak meletakkan jawatan, ini adalah kerana kontrak saya sudah berakhir. Ini sentiasa menjadi perancangannya.”