Pengurus skuad kebangsaan Belgium, Roberto Martinez mengakui harapan tinggi yang diletakkan terhadap anak buahnya serta kurang ‘keseronokan’ ketika beraksi menjadi punca kepada prestasi hambar skuad kendaliannya pada ketika ini.

Selepas mengharungi dua perlawanan dalam kumpulan F Piala Dunia 2022, Belgium mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Kanada dan tumpas 0-2 ketika bertemu Maghribi, malam tadi.

Daripada dua perlawanan itu, barisan pemainnya hanya mampu menjelmakan enam serangan tepat ke arah pintu gol lawan dan ia bukanlah perkembangan yang disenangi Martinez.

Sehubungan dengan itu, beliau melihat para pemainnya beraksi dengan berhati-hati seperti takut untuk mengalami kekalahan.

“Kami masih belum dapat melihat sesuatu yang terbaik dari Belgium. Kami tidak berada pada tahap terbaik kami. Kami tidak bermain dengan bebas.”

“Bola sepak adalah sukan berpasukan dan apabila bekerjasama, individu itu boleh mencapai tahap lebih tinggi,” ujar Martinez menurut kenyataan yang dikeluarkan The Guardian.

“Saya tidak nampak kami [para pemain Belgium] menikmati bola sepak kami seperti kebiasaan atau bermain dengan gembira. Kami tidak bermain dengan gembira mungkin kerana beban berat yang dipikul di bahu kami.”

“Kami bermain dua perlawanan terakhir seperi kami ada sesuatu untuk kalah. Ia bukan isu kekurangan kualiti atau aspek teknikal. Kami bermain lebih baik berbanding ketika menentang Kanada.”

“Tetapi kami bermain dengan rasa takut untuk kalah. Saya tidak nampak keseronokan yang biasa kami tampilkan dan itu sesuatu yang kami perlu usahakan.”

“Kami tidak mempunyai apa-apa untuk dilepaskan lagi. Kami akan bermain menentang Croatia dan itu akan menjadi permulaan buat kami dalam saingan Piala Dunia,” tambah Roberto Martinez lagi.

Selepas dua perlawanan, Belgium kini menghuni tangga ketiga dengan tiga mata, ketinggalan satu mata dibelakang Maghribi dan Croatia.

Keadaan itu menyaksikan mereka perlu mencatatkan kemenangan ke atas Croatia untuk menjamin tempat ke pusingan 16.

 

Sumber