Peledak berbisa Barcelona, Robert Lewandowski mengakui dirinya sudah bersedia untuk bersaing dengan bintang Manchester City, Erling Haaland dalam mencipta lebih banyak gol pada musim ini.

Seperti diumumkan awal pagi tadi, Lewandowski yang terlalu mengimpikan gelaran Ballon d’Or berada di kedudukan keempat dibelakang pemenang, Karim Benzema, Sadio Mane dan Kevin De Bruyne.

Namun, beliau masih mampu berbangga pada majlis yang diadakan di Paris itu kerana dinobatkan sebagai pemenang ‘Trofi Gerd Muller’. Anugerah yang pertama kali diperkenalkan bagi memberikan pengiktirafan kepada penjaring terbanyak sepanjang musim bersama kelab dan negara.

Musim lalu, Lewandowski telah meledakkan 57 gol dalam 56 perlawanan di semua pertandingan melibatkan Bayern Munich dan Poland.

Peringkat awal musim 2022/23 menyaksikan Lewandowski dan Haaland masing-masing menjelmakan kemampuan hebat mereka dimana penyerang kelahiran Poland itu telah menjaringkan 14 gol (sembilan gol dalam kempen La Liga).

Manakala, Haaland pula cemerlang dengan ledakan 20 gol dimana 15 daripadanya hadir dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Meskipun sedar cabaran hebat bakal menanti dengan keupayaan hebat dipamerkan oleh Haaland, Lewandowski tetap yakin dengan dirinya untuk menjaringkan lebih banyak gol sekali gus secara tidak langsung dapat merealisasikan impiannya bergelar pemenang Ballon d’Or.

“Musim ini masih lagi sangat panjang. Bagi saya, ia merupakan satu lembaran baharu karier bersama Barcelona dan sejak daripada hari pertama, saya berasa sangat baik bersama kelab ini.”

“Saya melihat ia ada untuk saya, satu cabaran yang sangat besar. Saya rasa semuanya sangat baik, saya dapat melihat dengan rakan sepasukan bahawa kami mempunyai potensi yang besar.”

“Saya mempunyai peluang untuk menjaringkan banyak gol dan saya pasti kami bersama-sama akan melakukan perkara ini. Ini adalah bola sepak. Anda perlu sentiasa bersedia.”

“Saya tahu kejohanan baharu [Liga Europa] akan datang tetapi saya masih di sini dan tidak memberikan kata terakhir lagi,” ujar Robert Lewandowski menurut sumber laporan Goal.

 

Sumber