Peledak berbisa Barcelona, Robert Lewandowski melihat peluangnya untuk memenangi gelaran yang begitu diidamkan, Ballon d’Or akan lebih cerah dengan menyertai kelab gergasi Sepanyol itu.

Follow VOCKET di Telegram untuk isu isu viral terkini
Artikel Berkaitan:

Hakikat itu ada asasnya kerana meskipun meledakkan 344 pada 375 penampilan dalam semua pertandingan disertai sejak musim 2014/15, Lewandowski langsung tidak pernah memenangi gelaran tersebut.

Selepas cemerlang bersama Bayern Munich selama lapan musim, penyerang kelahiran Poland itu mengubah haluan pada jendela perpindahan musim panas lalu untuk merasai pengalaman beraksi dalam kancah La Liga.

Keadaan itu disifatkan oleh Lewandowski mampu menjadi ‘jalan pintas’ buatnya untuk memburu kejayaan peribadi tersebut.

Malah, beliau juga tidak perlu menunggu lama untuk mempamerkan kemampuan sebenarnya apabila sudah meledakkan 11 jaringan pada lapan aksi awal dimana lapan gol terhasil dalam kempen La Liga manakala tiga lagi di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Robert Lewandowski meraikan jaringan ketika bertemu Elche dalam saingan La Liga 2022/23. Kredit Foto: Barcelona

“Saya tahu bahawa Barcelona merupakan satu pasukan yang mana pemain daripada pasukan ini banyak memenanginya [Ballon d’Or],” ujar Lewandowski menurut laporan Goal.

“Saya merasakan laluannya lebih pendek [untuk memenangi] dari Barcelona berbanding bersama Bayern Munich.”

Lewandowski berpeluang cerah untuk memenangi gelaran tersebut pada tahun 2020 selepas menjaringkan 55 gol serta membantu Bayern Munich muncul juara UCL, Bundesliga dan DFB Pokal.

Namun, ekoran pendemik yang melanda menyaksikan anugerah pada tahun tersebut terpaksa dibatalkan.

Senarai 30 pemain yang dikeluarkan pada Ogos lalu untuk Ballon d’Or 2022 menyaksikan Lewandowski turut tersenarai tetapi nama Karim Benzema disebut-sebut menjadi pilihan utama selepas beliau cemerlang membantu Real Madrid muncul juara UCL dan La Liga 2021/22.

Sejak mula diperkenalkan pada 1956, pemain dari Barcelona telah memenanginya sebanyak 12 kali apabila Lionel Messi menang pada tahun 2009, 2010, 2011, 2012, 2015 dan 2019.

Messi turut memenangi gelaran tersebut pada tahun lalu tetapi pada ketika itu beliau sudah bergelar pemain Paris Saint-Germain yang menyaksikan beliau berkelebihan 33 undian berbanding Lewandowski.

Sementara itu lima pemain lain yang memenanginya ialah Luis Suarez (1960), Johan Cruyff (1973 & 1974), Hristo Stoichkov (1994), Rivaldo (1999) dan Ronaldinho pada tahun 2005.