Ketua jurulatih Persib Bandung, Robert Alberts mengakui skuad kebangsaan Indonesia dilihat lebih memiliki peluang untuk melayakkan diri ke pentas akhir Piala AFF Suzuki 2020 berbanding lawan mereka yang merupakan tuan rumah, Singapura.

Kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan separuh akhir pertama malam ini di Stadium Nasional dengan Indonesia bakal melangkah ke padang dengan reputasi cukup meyakinkan setakat ini.

Ia jelas dibuktikan apabila ‘skuad Garuda’ itu berjaya mengikat juara bertahan, Vietnam tanpa jaringan dan kemudiannya tidak berdepan masalah menundukkan musuh tradisi, Malaysia 4-1 pada aksi terakhir saingan kumpulan B, tempoh hari.

Selain itu, skuad kendalian Shin Tae-yong itu juga merupakan pasukan yang mencipta jaringan terbanyak di peringkat kumpulan dengan 13 gol berjaya dihasilkan dengan sembilan pemain berbeza.

Keadaan itu sudah cukup jelas bagi menjadi alasan buat Alberts untuk memilih Indonesia sebagai pasukan pilihan dalam menempah pentas final keenam mereka dalam kancah tersebut.

“Indonesia adalah pasukan pilihan pada pertemuan menentang Singapura ini,” ujar pengendali berusia 67 tahun menurut sumber laporan Goal Indonesia.

“Dari apa yang saya lihat, Indonesia dilihat cenderung menjadi lebih unggul jika dibandingkan dengan Singapura.”

“Mereka akan mampu untuk melangkah ke perlawanan akhir. Saya tidak meragukan tentang perkara tersebut,” tambah Robert Alberts lagi.

Sementara itu, satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung malam esok menemukan dua jagoan Asia Tenggara (ASEAN), Vietnam dan Thailand.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia di sini:

Gianluca Vialli Dedahkan Masih Belum Pulih Daripada Kanser

Gasperini: Perbualan Ketika VAR Perlu Didengari, Ia Seperti Rahsia Negara

Bojan Hodak Pilihan TMJ Kemudi Pasukan Kebangsaan