Bekas ketua jurulatih pasukan Kedah dan Sarawak, Robert Rene Albert sah dilantik sebagai pengendali kelab Persib Bandung bagi saingan Liga 1 Indonesia musim ini.

Jurulatih berusia 64 tahun itu dibawa masuk bagi menggantikan Miljan Radovic yang ditamatkan khidmatnya sebelum saingan Liga 1 membuka tirai. Sebab utama Persib melepaskan Radovic adalah jurulatih tersebut mahu menjalani kurus kejurulatihan UEFA Pro.

Nama Robert Albert sememangnya bukan satu nama yang asing dalam kancah bola sepak di rantau Asia Tenggara. Pasukan Asia Tenggara pertama yang dikendalikan oleh jurulatih kelahiran Belanda ini ialah pasukan Kedah pada 1992. Setelah membimbing Kedah selama empat musim, Robert berhijrah ke Singapura apabila beliau membimbing Tanjong Pagar pada 1996 dan Home United pada 1999.

Selain membimbing kelab, Robert Albert juga pernah menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan Korea Selatan B-19 Tahun pada 2002. Pada 2008, Robert kembali ke Malaysia dengan menjadi ketua jurulatih Sarawak. Setelah dua musim bersama Sarawak, beliau kemudiannya berhijrah ke Indonesia.

Robert Albert Sarawak
Sumber Gambar: Sarawak FA

Kelab Indonesia pertama yang dilatih Albert ialah Arema FC pada 2009. Bersama Arema, beliau berjaya memenangi gelaran Indonesia Super League (ISL) pada musim pertamanya. Robert kemudiannya membimbing PSM Makassar pada 2010 sebelum kembali ke Sarawak pada tahun berikutnya.

Jodoh Albert dengan Makassar bertaut kembali apabila beliau kembali menguruskan pasukan tersebut pada 2016. Musim lalu, pasukan bimbingannya muncul sebagai naib juara Liga 1 dan layak beraksi dalam saingan Piala AFC musim ini.